suria

QZ8501: Dua Lagi Mangsa Dikenal Pasti - AirAsia

KUALA LUMPUR: Dua lagi mangsa nahas AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501 dikenal pasti pada Jumaat.

Mereka ialah Martinus Djomi dan Marwin Sholeh, kedua-duanya lelaki, kata AirAsia Indonesia dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Pengecaman Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI Polri) mengesahkan identiti mereka.

Syarikat penerbangan itu juga berkata, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia mengesahkan tujuh lagi mayat ditemui pada Jumaat dan dibawa ke Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.

"Setakat ini, Basarnas telah menemukan mayat 48 penumpang, 27 daripadanya dikenal pasti oleh DVI POLRI," menurut kenyataan itu.

Menurut syarikat penerbangan itu, para penyelam dikerah memasang beg terapung pada kepingan ekor pesawat dalam usaha mengangkatnya keluar daripada air.

Walaupun barangan milik penumpang yang ditemui di kawasan tumpuan pencarian telah berada dengan selamat di pusat krisis di ibu pejabat polis wilayah Timur Jawa di Surabaya, Indonesia, AirAsia Indonesia akan mendapatkan barangan lain yang ditemui semasa operasi mencari dan menyelamat dan mengembalikannya kepada waris terdekat selepas proses pemeriksaan yang ketat," menurut kenyataan itu.

Pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501 hilang daripada imbasan radar pada 28 Disember semasa dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia, bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.

Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah di Indonesia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain