suria

Gelandangan: Pengurusan Masjid Beri Pandangan Berbeza

Masjid Jamek Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Beberapa pihak pengurusan masjid di ibu negara memberi pandangan berbeza terhadap cadangan badan bukan kerajaan (NGO), Pertiwi Soup Kitchen supaya masjid dapat memberikan ruang bagi menempatkan kemudahan buat golongan gelandangan.

mStar Online sebelum ini melaporkan, NGO itu mencadangkan supaya diberikan sedikit ruang di kawasan masjid di sekitar Kuala Lumpur untuk menempatkan kemudahan mesin basuh, pengering baju dan lokar menyimpan barang buat golongan gelandangan terutama mereka yang bekerja.

Selain tempat-tempat awam, masjid merupakan antara lokasi yang sering didatangi golongan gelandangan.

Ketua Imam Masjid Jamek Kuala Lumpur, Mohd Faisal Tan Mutallib berkata, cadangan itu diterima baik memandangkan masjid tersebut sejak beberapa tahun lalu mengalu-alukan kehadiran gelandangan di samping membantu mereka dengan kerjasama NGO lain.

Walaupun ketika ini kawasan Masjid Jamek agak terhad kerana terbabit dalam projek pembangunan sungai ‘River of Life’ ekoran lokasinya yang terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, Mohd Faisal berkata, pihaknya sedia membantu memberi kerjasama bagi mempermudahkan golongan itu.

“Pada masa ini, hanya 30 peratus persekitaran masjid yang boleh digunakan selain dewan untuk bersolat dan di kiri kanan adalah sungai.

“Bagi saya, kemudahan ‘pusat sehenti’ buat gelandangan ini adalah perlu tetapi kerana ruang yang terhad di Masjid Jamek maka kita harus mempertimbangkan kesesuaian untuk menempatkannya.

“Tidak semestinya di dalam kawasan masjid, tetapi mungkin boleh dilaksanakan di tepi atau berhampiran dengan masjid. Diharapkan perkara ini juga boleh dilaksanakan secara bersepadu menerusi kerjasama agensi kerajaan, masjid-masjid lain dan NGO-NGO,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Masjid Jamek Kampung Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto photomalaysia.com

Seorang Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru yang tidak mahu dikenali berkata, sebarang cadangan tersebut boleh dikemukakan secara rasmi kepada pihak pengurusan masjid.

“Cadangan itu nanti akan kita bentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa masjid setiap bulan. Ia akan dipertimbangkan dengan mendapatkan pandangan semua pihak.

“Sebarang keputusan akan ditentukan selepas itu,” katanya, sambil menambah bahawa Masjid Jamek Kampung Baru sedang melalui proses pengubahsuaian fasa kedua yang akan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Bagaimanapun, Setiausaha Jawatankuasa Masjid India Kuala Lumpur, Mohd Ebrahim Mohideen berpendapat bahawa kemudahan seumpama itu tidak sesuai diwujudkan di masjid kerana ia terdedah kepada risiko keselamatan, kecurian, kerosakan dan pencerobohan.

Ini kerana katanya, banyak kes kecurian dan aktiviti vandalisme dilaporkan berlaku di sesetengah masjid di ibu negara.

Masjid India di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto asiaexplorers.com

“Kita bimbang kemudahan-kemudahan ini terutama lokar yang menyimpan barangan milik gelandangan akan mengundang kegiatan kecurian dan aktiviti vandalisme di masjid terus berleluasa.

“Bukan tidak boleh disediakan kemudahan ini untuk mereka, tetapi biarlah ia diwujudkan di tempat lebih sesuai dengan kawalan keselamatan lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, Mohd Ebrahim berkata, jika gelandangan terus ‘dilayan’ dengan pelbagai kemudahan maka golongan itu tidak berupaya untuk mengubah diri mereka kepada lebih baik.

“Kita mahu gelandangan berubah kepada insan yang lebih berguna dan menjalani kehidupan lebih selesa. Matlamat kita adalah memotivasikan mereka seperti memberi bantuan peluang pekerjaan dan penempatan tetapi bukannya dengan kemudahan untuk terus mereka hidup bergelandangan,” tambahnya lagi.

mStar Online turut melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada dasarnya sedia memberi kerjasama untuk membincangkan tentang cadangan itu dan meminta NGO terbabit supaya tampil mengemukakannya beserta mekanisme pelaksanaan.

Ketua Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, persetujuan juga diperlukan daripada pihak pengurusan masjid-masjid berkaitan di bawah penyeliaan jabatan itu.

Artikel Lain