suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang, Kelantan Kekal, Perak Sedikit Berubah

Penduduk bandar Kuala Krau mula pulang ke rumah masing-masing yang musnah ekoran dinaiki air dan lumpur hingga ke paras bumbung akibat dilanda banjir teruk baru-baru ini, di Kuala Kurau pada Selasa. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Kelantan kekal, manakala di Perak ia mencatat penurunan sedikit setakat 9.30 pagi Rabu, menjadikan keseluruhan jumlah mangsa 27,108 orang berbanding 27,181 orang malam Selasa.

Di PAHANG, jumlah mangsa di 94 pusat pemindahan di enam daerah tidak berubah iaitu 18,171 orang sama seperti malam Selasa.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, daerah Pekan menempatkan mangsa paling ramai iaitu 9,961 orang diikuti Temerloh (3,010 orang), Maran (2,779 orang), Kuantan (1,127 orang), Bera (731 orang) dan Jerantut (563 orang).

Di PERAK, keadaan semakin pulih dengan jumlah mangsa menurun kepada 4,993 orang daripada 1,361 keluarga berbanding 4,956 orang daripada 1,385 keluarga malam tadi dengan dua lagi pusat pemindahan ditutup.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata jumlah mangsa banjir di Perak Tengah kini 3,766 orang, Hilir Perak (306 orang), Hulu Perak (594 orang), Manjung (160 orang) dan Kuala Kangsar (57 orang). 

Di KELANTAN, jurucakap MKN negeri berkata jumlah mangsa di pusat pemindahan kekal 4,054 orang di empat jajahan iaitu Kuala Krai (1,817 orang), Gua Musang (1,662 orang), Tanah Merah (387 orang) dan Machang (188 orang).

Artikel Lain