suria

Buli: Enam Pelajar Ditahan

Enam pelajar Tahun Enam membuli seorang rakan sekelah mereka selepas tamat menduduki UPSR, September lalu.

ALOR SETAR: Enam murid Tahun Enam yang didakwa membuli rakan sekelas mereka di sebuah sekolah rendah di sini sudah ditahan untuk membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Kedah, Senior Deputi Komisioner Datuk Zamri Yahya berkata, empat laporan polis diterima susulan rakaman video yang menjadi viral di Facebook dan YouTube itu.

"Murid yang terlibat dalam insiden itu mengenali antara satu sama lain dan siasatan awal mendapati ia berlaku September lalu apabila mereka tamat menduduki UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah)," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semua enam pelajar itu juga telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam," katanya.

Menerusi klip video itu, seorang budak lelaki menangis apabila rakannya menendang, memukul dan meletakkan bekas sampah di kepalanya, malahan penyapu turut digunakan untuk mengejek pelajar itu.

Ketua Pemuda MIC Alor Setar, W. Thiruchandru berkata, keluarga mangsa yang menetap berhampiran sekolah itu sudah berbincang dengan guru besar dan memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap rakan anak mereka itu.

"Mereka hanya mahu pihak polis melakukan sesuatu supaya insiden itu tidak berulang," katanya.

Thiruchandru berkata, mangsa kejadian itu akan meneruskan pengajian sekolah menengah di sebuah sekolah agama di Perlis pada sesi persekolahan Januari ini.

buli, tahun enam, Zamri Yahya

Artikel Lain