suria

Banjir: 'Pelancong Bencana' Sekat Jalan, Halang Usaha Bantuan

KUALA KRAI: Ramai yang tertumpu di Kelantan pada masa kini, datang bertujuan membawa bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang sangat dialu-alukan. Namun, terdapat juga kumpulan besar lain yang datang ke sini, tetapi kehadiran mereka tidak dialu-alukan.

Mereka adalah pelawat yang datang untuk melihat keadaan akibat kemusnahan banjir, mereka yang menyiarkan gambar-gambar 'selfie' dan ingin menunjukkan gambar bahawa mereka 'berada di tempat kejadian' di laman Facebook atau Twitter masing-masing.

'Pelancong kawasan bencana' hanya menambah masalah kepada mangsa dan keadaan semasa apabila mereka datang dalam kumpulan yang besar dan memenuhkan kawasan dengan kenderaan mereka.

Mereka juga mengganggu  sukarelawan dan khidmat yang sedaya upaya cuba disalurkan kepada mangsa.

Mereka yang mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir di sini menyatakan bahawa tugas-tugas mereka telah terjejas oleh 'pelawat' ini. "Kereta mereka telah menyekat jalan-jalan yang ada," kata mereka.

Seorang pegawai tentera, yang hanya mahu dikenali sebagai Yan berkata jalan raya di Manek Urai di sini sesak dengan pengunjung ketika keutamaan perlu diberikan kepada kenderaan yang membawa bantuan.

"Membawa masuk 20 hingga 30 buah kereta untuk melawat ke kawasan itu hanya menjadikan keadaan menjadi lebih teruk," katanya.

"Jalan-jalan ini sudah sedia sesak dengan kereta mangsa yang kebanyakannya diselaputi lumpur dan sisa runtuhan. 'Pelancong' seperti ini tidak perlu memandu untuk ke kawasan luar bandar dan tidak patut berada di sini sama sekali, " kata pegawai itu.

Aliran trafik yang teruk menyebabkan doktor sukarelawan Beh Chin Xi dan pasukannya terperangkap di jambatan selama hampir tiga jam.

"Penduduk di sini telah kehilangan segala-galanya," katanya. "Ada yang sedang melakukan semua yang terdaya untuk membantu mangsa, sementara ada juga orang lain yang mengambil kesempatan daripada keadaan ini," katanya.

Dr Beh berharap pihak berkuasa dapat membantu mengawal 'kesesakan yang tidak diingini' ini.

Sukarelawan daripada NGO yang berpangkalan di Melaka juga menyatakan keluhan yang sama, dengan menyatakan mereka terkejut dengan 'mentaliti sesetengah orang'.

"Penduduk kampung dari kawasan lain datang ke kawasan-kawasan yang terjejas untuk mengambil bantuan bekalan yang amat bermakna kepada mangsa," dakwa salah seorang daripada mereka.

Komander bagi Briged Kelapan Tentera Jeneral Datuk Azmi Yahya mengesahkan bahawa wujudnya sebilangan besar 'pelancong tidak diingini', menyebabkan bertambahnya masalah trafik.

"Kerja kami diteruskan, tetapi proses itu perlahan kerana perkara ini," katanya.

Ahli jawatankuasa pengurusan bencana negara Persatuan Bulan Sabit Merah  Malaysia James Kon berkata orang-orang yang tidak terlibat dalam usaha-usaha bantuan tidak sepatutnya berada di jalan-jalan terbabit.

"Mereka harus menjauhkan diri buat masa ini. Sesetengah jalan juga dilihat tidak selamat," katanya.

Pengguna Twitter @melatienida yang mana ibu bapanya berasal dari Kelantan menulis di Twitter dan menyiarkan gambar orang ramai di Kota Baru yang ingin tahu mengenai keadaan banjir.

"Banjir menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong. Orang ramai datang ke tempat ini hanya untuk melihat!" katanya.

Pada laman Instagram, seorang pengguna menyiarkan video yang menunjukkan arus deras banjir di Seberang Perak dengan hashtag #mybanjir: "Lawatan untuk melihat banjir. Ladang kelapa sawit menjadi sungai. Air mengalir deras walaupun cuaca panas terik. "

Apabila pengguna lain bertanya adakah dia tinggal di sana, dia menjawab bahawa dia datang dari Sitiawan untuk melihat sendiri keadaan banjir.

Artikel Lain