suria

Penurunan Ringgit, Ibu Bapa Fikir Semula Rancangan Hantar Anak Ke Luar Negara

PETALING JAYA: Ibu bapa yang merancang untuk menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara, khususnya Amerika Syarikat, mula merasakan kesan kejatuhan berterusan mata wang ringgit berbanding mata wang Amerika.

Ramai yang mempertimbangkan semula pilihan mereka dengan melihat destinasi lain untuk pengajian tinggi anak-anak mereka.

Ada yang juga merancang untuk memendekkan tempoh pengajian anak-anak mereka bagi menampung kos tambahan yang terpaksa ditanggung, manakala ada yang berfikir untuk meminta anak-anak mereka melakukan kerja sampingan untuk membantu membiayai pengajian mereka.

Ringgit telah susut kepada paras terendah sejak Ogos 2009 pada 3.5280 berbanding dolar AS.

Seorang pengamal media berkata dia telah mendaftar anak perempuannya untuk program ijazah berkembar Amerika dengan sebuah kolej tempatan dua tahun lalu.

"Dia melakukan program berkembar dengan dua daripada empat tahun pengajian akan dibelanjakan di Amerika Syarikat. Pada masa itu, ringgit masih bertahan dengan baik berbanding dolar AS.

"Dengan kejatuhan ringgit sekarang, saya perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk membiayai pengajian anak saya di Amerika Syarikat," katanya.

Juruterbang bersara Wong Yoon Fatt, yang merupakan bapa kepada dua anak berkata dia merancang untuk menghantar anak perempuannya yang berusia 18 tahun ke luar negara memandangkan dia telah membuat simpanan untuk pendidikan anak-anaknya.

"Walau bagaimanapun, jika ringgit terus turun, saya mungkin akan memendekkan tempoh pengajian mereka di luar negara. Dari tiga tahun, saya boleh cuba kurangkan kepada hanya satu atau dua tahun di luar negara, " katanya, sambil menambah dia menggalakkan anak-anaknya melakukan kerja sambilan semasa mereka bercuti.

Suri rumah Noorhaidah Mohd Ibrahim, 61, berkata jika keadaan ekonomi menjadi lebih teruk, dia bersedia untuk menghantar anak perempuannya, Tasneem yang berusia 21 tahun belajar di universiti tempatan.

"Jika kita boleh mendapatkan kualiti pendidikan yang sama di sini, kenapa tidak?" katanya, sambil menambah dia sebelum ini merancang untuk menghantar Tasneem melanjutkan pelajaran di Britain.

Pelajar komunikasi massa S. Samhitha, 21, berkata dia mempunyai pilihan untuk menyambung tahun akhirnya di luar negara tetapi memilih untuk menyambungnya di sini kerana kos untuk belajar di luar negara telah meningkat.

"Saya masih boleh mendapat ijazah yang sama di sini. Walau bagaimanapun, perkara yang saya akan terlepas ialah perbezaan dari segi pendedahan pembelajaran," katanya.

Pelajar undang-undang Janani Silvanathan, yang berada di Britain, berkata dia akan merasakan kesan kejatuhan ringgit dalam tempoh berikutnya apabila dia terpaksa berulang-alik dari Bristol ke London setiap minggu.

"Pengangkutan akan menjadi lebih mahal. Sekarang tiket kereta api dari Bristol ke London berharga RM180 untuk setiap perjlaanan," keluh pelajar berusia 24 tahun itu.

Pelajar pembikinan filem berusia 20 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Stephanie berkata dia merancang untuk belajar di Kanada tetapi perlu melakukan pekerjaan sambilan.

"Ringgit yang mengalami susut nilai tidak akan memberi kesan teruk kepada saya tetapi ibu bapa saya pasti akan menanggung kos yang lebih tinggi," katanya.

Pelajar undang-undang Lisa J. Ariffin, 25, yang belajar di Cardiff, Wales, berkata dia lebih berhati-hati dalam membelanjakan wang, walaupun untuk membeli makanan.

"Saya tidak boleh kerap makan di luar dan akan sentiasa melihat tawaran yang terbaik," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain