suria

MCA Kutip Hampir RM3 Juta Bantu Mangsa Banjir

Liow (tujuh dari kanan) dan Wee (lima dari kanan), bersama-sama pemimpin MCA dan penderma bantuan banjir di Wisma MCA, Isnin.
KUALA LUMPUR: MCA setakat ini telah berjaya mengutip hampir RM3.5 juta dalam usaha membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir, kata Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Selain daripada jumlah bantuan itu yang terdiri daripada RM2.26 juta dalam bentuk dana dan RM1.18 juta dalam bentuk barangan, parti itu juga telah menghantar 500 tan barangan kepada mangsa, katanya.

"Kami akan terus menghantar lebih banyak bantuan ke kawasan yang terjejas," katanya.

Berjaya Group of Companies adalah antara penyumbang terkini.

Mewakili pengasasnya Tan Sri Vincent Tan, Pengerusi Berjaya Corporation Bhd Datuk Robin Tan menyumbangkan sebanyak RM300,000 kepada Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) sebagai usaha membantu mangsa banjir.

Mah Sing Foundation, diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ng Chai Yong, menyerahkan sumbangan barangan bernilai RM150,000.

"Sekarang, dana tersebut akan digunakan untuk membina semula rumah-rumah dan kami sedang menggerakkan lebih ramai sukarelawan untuk membantu di kawasan terjejas," katanya pada majlis penyerahan bantuan bencana banjir di ibu pejabat MCA di sini, Isnin.

Beliau berkata CRSM akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk mengagihkan bantuan dan menggesa rakyat Malaysia menyokong kerja-kerja agensi kerajaan dan tentera untuk membantu mangsa.

Beliau berkata Kabinet akan bermesyuarat pada Selasa untuk mendapatkan lebih banyak cadangan bagi membantu mangsa banjir.

Ditanya bila perkhidmatan KTM ke Pantai Timur akan dipulihkan sepenuhnya, Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata pihaknya akan menilai kerosakan landasan kereta api berikutan banjir.

Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata beliau telah meminta laporan penilaian kerosakan daripada pemimpin-pemimpin kampung baharu Cina dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata terdapat sebanyak 607 buah kampung baharu di seluruh negara dan penilaian kerosakan telah dimulakan di Gua Musang, Kelantan.

Dr Wee berkata MCA telah membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara, termasuk di daerah Kota Belud di Sabah.

Artikel Lain