suria

Gelandangan: Jawi Sedia Beri Kerjasama, Minta NGO Bincang Pelaksanaan

Paimuzi Yahya.

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada dasarnya sedia memberi kerjasama kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan kemudahan di masjid bagi membantu golongan gelandangan.

Ketua Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, bagaimanapun NGO tersebut diminta tampil untuk berbincang lebih terperinci dengan jabatan itu bagi mengemukakan cadangan dan mekanisme pelaksanaannya.

"Dari segi dasarnya, insyaAllah Jawi sudi beri kerjasama, tak ada halangan. Tetapi dari segi pelaksanaannya NGO berkaitan perlu berbincang dengan Jawi.

"Kita kena berbincang dengan NGO berkenaan mengenai bentuk pelaksanaan untuk menempatkan kemudahan-kemudahan itu di masjid.

"Bila kita letak kemudahan itu, kita perlu melihat perkara itu dari segi kawalan, keselamatan dan, waktu penggunaan dan pengurusannya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

mStar Online pada minggu lalu melaporkan Pertiwi Soup Kitchen mencadangkan supaya ruang untuk menempatkan kemudahan mesin basuh, pengering baju dan lokar menyimpan barang buat golongan gelandangan dapat disediakan di masjid-masjid di sekitar ibu negara.

Paimuzi turut berkata, Jawi juga perlu mendapatkan persetujuan dari masjid-masjid berkaitan bagi menempatkan kemudahan itu buat golongan gelandangan.

"Walaupun masjid-masjid di Kuala Lumpur di bawah pengawalan Jawi tetapi saya juga perlu mendapatkan persetujuan daripada masjid-masjid itu terlebih dahulu,"katanya.

Terdahulu, Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid berkata, kemudahan itu dapat mengubah persepsi mengenai gelandangan yang sering dilihat sebagai pengotor, selekeh dan berbau.

Menurut Munirah, ia juga turut memberi keselesaan kepada golongan itu terutama di kalangan mereka yang bekerja selain dapat menyimpan barangan berharga dan dokumen peribadi.

"Banyak perkara yang boleh dibincangkan seperti penglibatan sukarelawan dalam memantau keadaan gelandangan yang menggunakan kemudahan itu dan menghadkan waktu penggunaannya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain