suria

SPAD Enggan Tentukan Siling Tambang Bas Sekolah

PETALING JAYA: Dalam tempoh seminggu sahaja lagi sesi persekolahan akan kembali dibuka dan yang pastinya para ibu bapa merupakan kumpulan yang paling sibuk menguruskan anak dan kos persekolahan termasuk pengangkutan.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu kemelut kadar tambang bas sekolah yang bakal membebankan ibu bapa masih belum bernoktah sejak sekian lama.

Lebih memburukkan lagi keadaan,  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tetap mengulangi pendirian untuk tidak memperkenalkan harga siling atau kadar tambang asas yang baharu walaupun menerima desakan pelbagai pihak yang mahu melihat satu kadar relevan.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nur Ismal Kamal berpendapat kadar tambang asas tidak lagi relevan memandangkan keperluan kos bagi setiap pengusaha berbeza mengikut lokasi yang ditawarkan.

"Kita mendapati cara 'one-size fits all' tidak lagi boleh digunapakai sekiranya penambahbaikan bas sekolah hendak dilaksanakan," katanya kepada mStar Online menerusi e-mel baru-baru ini.

Jelas beliau, sistem rigid yang digunapakai sebelum ini menyebabkan hanya sebilangan kecil berminat untuk menjalankan perkhidmatan tersebut dan menyumbang kepada peningkatan bas sekolah secara haram.

"Dengan liberalisasi ini, SPAD menjangkakan pengusaha bas sekolah yang beroperasi secara haram akan mendaftar bagi membolehkan mereka dikawal selia dan layak menerima skim bantuan," katanya.

Menerusi sistem yang baharu ini, Mohd Nur Ismal berkata, ibu bapa akan mendapat lebih banyak pilihan perkhidmatan bas sekolah di pasaran sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat dikalangan pengusaha bas.

"Persaingan akan menjadi lebih sihat dan ibu bapa juga mempunyai lebih banyak pilihan malah pengusaha bas pula perlu menawarkan harga yang kompetitif," katanya.

Justeru, beliau berkata, SPAD menyerahkan kadar tambang baharu bas sekolah diputuskan menerusi rundingan antara ibu bapa dan pengendali bas sekolah.

"Kami tetap dengan pendirian untuk tidak lagi menentukan tambang bas sekolah berkuatkuasa awal tahun ini tetapi akan terus memantau tahap perkhidmatan yang diberikan pengusaha bas sekolah," katanya.

Jelas beliau, SPAD akan memastikan perkhidmatan bas sekolah bermula awal tahun ini mengamalkan garis panduan ICOP - SHE (Industrial Code of Practice - Safety Health & Environment) untuk menjadikan amalan keselamatan sebagai budaya dan norma industri pengangkutan awam.

"Ia adalah usaha SPAD dalam mewujudkan industri bas sekolah yang mapan, kreatif, inovatif dan pada masa sama mengambil kira kos agar perkhidmatan ditawarkan pada harga munasabah," katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat aktiviti penetapan harga di kalangan pengusaha bas sekolah, ibu bapa boleh membuat aduan dengan menghubungi Aduan SPAD di 1-800-88-7723 atau menerusi e-mel kepada [email protected].

Beliau berkata, SPAD turut akan menyenaraikan persatuan bas sekolah di laman web badan itu bagi membantu ibu bapa dalam membuat pilihan perkhidmatan yang dikehendaki.

"Ibu bapa juga boleh menyemak senarai bas sekolah yang berdaftar dalam laman sesawang www.spad.gov.my dan boleh menghubungi SPAD jika terdapat sebarang pertanyaan di talian 1-800-88-7723," katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan mendesak SPAD dan Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM)  supaya menyelesaikan kemelut tersebut dengan kadar segera.

Beliau berkata kegagalan berbuat demikian hanya akan memberi implikasi besar kepada ibu bapa yang pastinya terbeban dengan kenaikan tambang bas tersebut.

Presiden PPBSM, Amali Munif Rahmat pula  sebelum ini tidak menolak akan berlaku kenaikan sebanyak 30 hingga 50 peratus sekiranya tiada harga tambang asas diperkenalkan kerana peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung pengusaha bas.

Sementara itu, ketika diminta sama ada SPAD akan mengadakan perbincangan dengan PPBSM mengenai perkara tersebut, Mohd Nur Ismal berkata, SPAD telah pun mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan pihak PPBSM dan PIBGN.

"Untuk makluman, SPAD juga telah pun menjalankan  kempen kesedaran yang akan berakhir hujung bulan ini mengenai  perkhidmatan bas sekolah supaya ibu bapa lebih peka dalam memilih perkhidmatan tersebut," katanya.

SPAD, PIBGN, PPBSM

Artikel Lain