suria

Mangsa Banjir, Petugas & Sukarelawan Alami Trauma - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Banjir teruk yang melanda negeri pantai timur bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan dan kehilangan harta benda malah ia turut dihantui tekanan perasaan dan trauma kepada mangsa, petugas kesihatan dan sukarelawan terlibat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis Kebangsaan (CPRC) telah mengaktifkan Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial untuk membantu memberikan khidmat.

Menurut beliau operasi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial telah diaktifkan di negeri terlibat banjir sejak 21 Dis dan sebanyak 29 pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial terdiri daripada 150 anggota telah digerakkan ke lapangan bagi memberikan perkhidmatan.
 
"Sehingga 1 Jan, sebanyak 779 individu (660 mangsa banjir, 119 petugas kesihatan termasuk sukarelawan) telah menerima sokongan psikososial. Di samping itu juga, sebanyak 267 kaunseling individu dan 333 kaunseling berkelompok telah dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sepanjang perkhidmatan dilaksanakan, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan mangsa didapati mengalami gejala seperti terkejut, tekanan perasaan akibat kehilangan dan kerosakan harta benda, kerisauan ketidaktentuan masa depan, kesedihan, kekecewaan, perasaan menyalahkan diri sendiri dan perasaan terasing dari dunia luar. 

Selain itu, beliau berkata mangsa juga mengalami gejala fizikal seperti keletihan, kejang otot, lapar dan gangguan tidur.
 
"Hasil pemerhatian KKM, kami dapati terdapat juga anggota penyelamat atau sukarelawan yang pulang dari misi bantuan turut mengalami gangguan emosi di atas kemusnahan yang berlaku dan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa banjir," katanya. 

Beliau berkata antara perkhidmatan psikososial yang diberikan termasuk pertolongan cemas psikologi, kaunseling sokongan, terapi individu, terapi berkumpulan, aktiviti berkumpulan yang melibatkan kanak-kanak dan remaja seperti terapi melukis, mewarna, 'wooden block'.

Katanya, KKM juga melaksanakan talimat pertolongan cemas psikologi dan persediaan kesihatan mental secara berkala kepada semua petugas perubatan yang terlibat dalam misi menangani banjir sebelum mereka dimobilisasikan ke kawasan terlibat.
 
"Ini bagi memastikan semua petugas berada dalam tahap kesihatan mental yang optimum untuk tugasan dalam keadaan krisis," katanya.

Artikel Lain