suria

Bahagian MIC Kedah Mahu Palanivel Selesai Masalah Dalaman Parti

G. Palanivel.
KULIM: Tujuh daripada 12 Bahagian MIC Kedah hari ini mendesak presiden parti itu Datuk Seri G. Palanivel mematuhi keputusan parti itu dalam mesyuarat pada 18 Dis lepas bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu. 

Jurucakap kumpulan tujuh bahagian itu, S.Ananthan yang juga Ketua MIC Bahagian Kulim/Bandar Baharu berkata, presiden perlu bertindak tegas untuk menyelesaikan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bersama-sama timbalannya Datuk Dr S.Subramaniam. 
 
"Presiden sepatutnya menunaikan janji sebagaimana diputuskan pada mesyuarat 18 Disember...bukannya melantik anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) (yang baharu), yang tidak sepatutnya berlaku", katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Pada mesyuarat 18 Dis itu, Palanivel mengumumkan untuk menangani isu ini dengan cekap, akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama, terdiri daripada pucuk pimpinan (Palanivel dan timbalannya Dr S. Subramaniam), lima pengadu kepada ROS berhubung dakwaan salah laku dalam pemilihan parti dan lima yang lain. 

ROS sebelum ini mengisytiharkan sebagai tidak sah pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC semasa perhimpunan agung parti di Melaka, November lepas dan menasihati MIC tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya sehingga isu itu diselesaikan. 

Dalam surat bertarikh 5 Dis, ROS berkata pihaknya mengesyorkan supaya pemilihan semula diadakan bagi jawatan-jawatan itu dalam tempoh 90 hari. 

MIC Kedah, Palanivel

Artikel Lain