suria

5 Negeri Terjejas Banjir Hampir Pulih, Mangsa Di Sabah Sedikit Meningkat

Kanak-kanak di Kampung Cherok Paloh, Mohd Haikal Mohd Zauyub, 5, sedih melihat keadaan kampungnya yang dilanda banjir semasa tinjauan fotoBernama di Kuantan, Jumaat. Meskipun cuaca baik sejak empat hari lalu namun beberapa kampung di Kuantan termasuk kampung Cherok Paloh, kampung Semangat, Kampung Kuala Penor, Kampung Ubai masih dilanda banjir akibat limpahan air sungai Pahang yang mengalir turun dari Taman Negara. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menurun kepada 74,098 orang setakat pagi Sabtu namun angka itu sedikit meningkat di Sabah apabila semakin banyak penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di beberapa bandar di negeri itu. 

Di KELANTAN, walaupun cuaca mendung dengan hujan sedikit-sedikit di beberapa tempat, lebih banyak mangsa banjir sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. 

Setakat ini, jumlah mangsa menurun kepada 24,020 orang yang berada di 114 pusat pemindahan berbanding 26,029 orang malam Jumaat, menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan.

Jumlah mangsa di Tanah Merah adalah sebanyak 14,184 orang, Kuala Krai (3,636), Gua Musang (3,006), Machang (2,555), Kota Baharu (515) dan 124 orang di Tumpat.

Di PAHANG, jumlah mangsa juga menurun kepada 42,938 orang berbanding 43,624 orang malam tadi, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Hanya tujuh daerah yang direkodkan terjejas banjir iaitu Temerloh sebanyak 20,962 orang, Pekan (11,063), Jerantut (3,792), Bera (3,479), Maran (2,168), Kuantan (1,074) dan 400 orang di Lipis.

Sementara itu, keseluruhan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Tol Plaza Karak ke Tol Plaza Jabor telah dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan pagi Sabtu.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa kekal 143 orang dengan hanya satu pusat pemindahan dibuka iaitu di Dungun.

Di PERAK, jumlah mangsa menurun kepada 6,881 orang daripada 1,889 keluarga berada di 46 pusat pemindahan di lima daerah iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak, berbanding 7,158 orang malam Jumaat.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata mangsa banjir di daerah Perak Tengah menurun kepada 5,096 orang, Kuala Kangsar (636), Hulu Perak (739), Manjung (140) dan 270 orang di Hilir Perak.

Di JOHOR, mangsa banjir tidak berubah dengan 116 orang daripada 24 keluarga sehingga pukul 9 pagi tadi ini dengan enam pusat pemindahan iaitu satu di daerah Batu Pahat dan lima di daerah Segamat masih dibuka. 

Berbeza di SABAH, jumlah mangsa meningkat kepada 910 orang berbanding 615 orang malam tadi dan ditempatkan di lima pusat pemindahan di tiga daerah, demikian menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sabah.

Kota Belud mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 810 orang diikuti Kota Marudu (82) dan 18 mangsa di Pitas.


STATISTIK MANGSA BANJIR SETAKAT 10 PAGI

KELANTAN 26,029 24,020
TERENGGANU 143 143
PAHANG 43,624 42,938
PERAK 7,158 6,881
JOHOR 116 116
SABAH 615 910

Artikel Berikut

Artikel Lain