suria

Sabah Kembali Dilanda Banjir, Lima Lagi Negeri Semakin Pulih

Anggota Bomba dan Penyelamat memindahkan mangsa banjir setelah Kampung Rugading mula dinaiki air di Tawau, Jumaat. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor semakin pulih petang Jumaat, namun Sabah kembali dilanda bencana itu apabila beberapa bandar utama di negeri berkenaan mula ditenggelami air. 

Setakat 4 petang, SABAH merekodkan seramai 422 mangsa daripada 134 keluarga di daerah Kota Belud dan Tawau yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. 

Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam berkata, kesemua mangsa adalah dari 10 buah kampung yang dilanda banjir di sekitar daerah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kajicuaca Sabah, Abdul Malik Tussin berkata, keadaan cuaca di seluruh negeri berkenaan hingga lewat malam ini, diramalkan mendung dengan hujan sekejap-sekejap.

Sebelum ini, Tenom dan Beaufort dilanda banjir selama beberapa hari dengan lebih 400 mangsa terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara.  

Di TERENGGANU, keadaan banjir hampir pulih dan setakat petang Jumaat hanya daerah Dungun masih terjejas melibatkan 143 mangsa berbanding 2,917 mangsa pada sebelah tengah hari, menurut Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Terengganu Roslina Ngah. 

Roslina dalam kenyataan berkata, Bilik Gerakan Banjir Terengganu pada Jumaat ditutup secara rasmi berikutan keadaan yang semakin pulih di negeri itu, namun pihaknya meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa.

Di KELANTAN, keadaan banjir turut bertambah baik apabila merekodkan penurunan jumlah mangsa kepada 26,149 orang petang ini, berbanding 27,282 orang pada tengah hari.

Menurut MKN Kelantan, kesemua mangsa yang terdiri daripada 6,469 keluarga ditempatkan di 140 pusat pemindahan di enam jajahan.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Tanah Merah adalah sebanyak 14,184 orang, Tumpat (124), Kuala Krai (5,645), Kota Baharu (635), Machang (2,555) dan Gua Musang (3,006). 

Di PERAK, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 7,346 orang daripada 2,013 keluarga berbanding 7,513 mangsa daripada 2,066 keluarga di 49 pusat pemindahan di lima daerah tengah hari Jumaat.

Jurucakap MKN Perak berkata, daerah Perak Tengah setakat petang Jumaat merekodkan seramai 5,290 mangsa, Kuala Kangsar (891), Hulu Perak (758), Manjung (131) dan Hilir Perak (276).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 43,840 orang berbanding 44,591 orang tengah hari tadi di 203 pusat pemindahan di lapan daerah yang terjejas.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Temerloh menempatkan mangsa paling ramai 20,962 orang di 69 pusat diikuti Pekan (10,964), Jerantut (4,215), Bera (3,313), Maran (2,438), Kuantan (1,074), Lipis (825) dan Rompin (49).

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 116 orang daripada 24 keluarga selepas 23 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Artikel Lain