suria

KTMB Gantung Serta-Merta Perkhidmatan Gemas-Tumpat

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Intercity di laluan pantai timur antara stesen Gemas hingga Tumpat digantung serta-merta.

KTMB dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, tindakan itu dilakukan setelah mengambil kira impak banjir besar yang melanda negeri-negeri pantai timur sejak 22 Disember lepas. 

"Sebahagian daripada landasan, jambatan, stesen dan stokereta telah mengalami kerosakan yang teruk," menurut kenyataan itu.

Penggantungan perkhidmatan itu juga telah diarahkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui suratnya bertarikh 29 Disember lepas.

"Perkhidmatan hanya akan dibuka semula kepada orang awam setelah KTM Berhad menjalankan pemeriksaan yang terperinci dan menyeluruh terhadap integriti infrastruktur dan proses pemulihan landasan dilaksanakan sepenuhnya," menurut KTMB.

Para penumpang boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket KTM Intercity.

Untuk sebarang maklumat lanjut, pengguna perkhidmatan boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan KTMB di 1-300-88-5862 atau 03-22671200.

Artikel Lain