suria

Mangsa Banjir Lega BR1M, Bantuan Khas Awal Persekolahan Dipercepat

KOTA BAHARU: Syukur dan terima kasih. Perasaan ini diluahkan mangsa banjir sewaktu menyambut baik langkah kerajaan mempercepatkan pembayaran wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan khas awal persekolahan RM100 setiap anak pada pertengahan bulan depan.

Saufi Ismail dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa, dekat sini berkata beliau mampu menarik nafas lega seketika selepas mendengar berita tersebut kerana semua kelengkapan persekolahan tiga anaknya iaitu beg sekolah, alat tulis dan pakaian seragam sekolah musnah akibat banjir.

"Sebelum ini saya 'mati akal' memikirkan bagaimana hendak mendapatkan wang untuk membeli semula kelengkapan persekolahan anak kerana duit yang disimpan sebelum ini sudah dibelanjakan.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan kerajaan dan berharap pihak lain akan turut sudi menghulurkan bantuan persekolahan kepada kami mangsa banjir," katanya.

Langkah mempercepatkan pembayaran BR1M dan bantuan khas awal persekolahan, diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri-negeri dilanda banjir.

Saufi yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta berkata sebagai bapa, beliau tidak sanggup melihat anak-anaknya ke sekolah tanpa pakaian seragam apabila sesi persekolahan bermula 11 Jan nanti walaupun mereka bersemangat untuk ke sekolah.

Penoreh getah, Zainal Abidin Awang, 51, dari Kampung Chekok, Pulai Chondong, pula berkata beliau bersyukur mendengar berita tersebut, namun ia masih belum mencukupi bagi menampung kehidupan harian keluarganya.

"Sejak dua minggu lepas saya tidak boleh menoreh getah kerana hujan dan terpaksa bergantung kepada hasil jualan ikan keli yang saya pelihara secara kecil-kecilan di belakang rumah sebagai punca pendapatan tambahan pada musim tengkujuh.

"Namun banjir besar di kampung kami menyebabkan semua ikan terlepas daripada kolam dan saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pangkal Nering, Pulai Chondong setelah air naik dengan cepat dan menenggelamkan separuh rumah saya," katanya.

Zainal yang mempunyai lima orang anak berkata beliau bagaimanapun bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat kerana baginya keselamatan anak-anak adalah lebih penting.

"Saya harap ada pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan kepada kami yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap ... namun saya reda dengan apa yang berlaku... saya juga berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberi bantuan makanan di pusat pemindahan banjir," katanya.


BR1M, Banjir, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain