suria

Bukan sebab jin atau sihir! Jurulatih kecergasan kongsi ‘magik’ mandi garam, rahsia tidur nyenyak dan minda tenang

Amalan mandi garam terbukti mempunyai pelbagai manfaat berdasarkan kajian saintifik. -Gambar hiasan AI

SEJAK kebelakangan ini ramai mula mengamalkan mandi garam kerana percaya ia mampu membuang aura negatif serta menyegarkan tubuh dan minda.

Amalan tradisional ini juga sering dikaitkan dengan elemen mistik kononnya dapat menghindarkan gangguan jin atau memulihkan aura diri. 

Namun hakikatnya terdapat penjelasan lebih logik dan berasaskan sains di sebalik kebaikan mandi garam.

Seorang jurulatih kesejahteraan (wellness coach), @dilla.nur  membongkar manfaat mandi garam melalui pendekatan saintifik yang menurutnya bukan disandari dengan kepercayaan tradisional semata-mata.

Menurutnya, antara khasiat mandi garam adalah seperti berikut:

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar ‘bedah’ maksud di sebalik tatu influencer... Anggap ‘coping skill’ salah, bukan pemulihan jangka panjang - “Dia perlu bantuan segera”

1. Kaya dengan mineral penting

Garam mengandungi mineral seperti magnesium, natrium dan kalium yang penting untuk fungsi tubuh.

Apabila mandi atau berendam dalam air garam, sebahagian kecil mineral ini boleh diserap melalui kulit (transdermal absorption).

Ia membantu menenangkan sistem saraf yang tegang, sekali gus memberikan rasa lega dan mengurangkan tekanan.

2. Mengurangkan hormon stres

Mandian air suam bersama garam juga mampu menurunkan paras hormon kortisol atau stres.

Dalam masa sama, ia meningkatkan hormon yang berkaitan dengan ketenangan seperti serotonin dan endorfin. Kesan ini menjadikan emosi lebih stabil dan minda terasa lebih ringan.

3. Menyeimbangkan elektrolit badan

Keadaan seperti stres, peluh berlebihan atau dehidrasi boleh mengganggu keseimbangan elektrolit.

Air garam membantu memulihkan keseimbangan natrium dan kalium, sekali gus menstabilkan sistem saraf dan meningkatkan tenaga tubuh.

Mandi garam sebelum tidur dapat membantu mendapatkan tidur yang nyenyak. -Gambar hiasan AI

4. Melonggarkan otot yang tegang

Kandungan magnesium dalam garam, terutamanya garam Epsom atau garam bukit, membantu melonggarkan otot yang keras apabila diserap melalui kulit.

Ini menyebabkan tubuh terasa lebih ringan dan lega selepas mandi.

5. Mengaktifkan mod rest and digest

Mandian air garam membantu mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik, iaitu keadaan rehat dan pemulihan badan.

Ia memperlahankan degupan jantung, menenangkan emosi, memperbaiki penghadaman dan membantu tidur lebih nyenyak.

6. Mengurangkan keradangan kulit

Garam mempunyai sifat antibakteria dan anti-radang. Ia juga membantu menarik lebihan air dari kulit, sekali gus mengurangkan masalah seperti ekzema ringan, ruam, kegatalan dan jerawat badan.

Selain itu, jurulatih kesejahteraan tersebut turut berkongsi waktu yang sesuai untuk mengamalkan mandi garam bagi mendapatkan kesan optimum:

1. Sebelum tidur - membantu mendapatkan tidur yang lebih nyenyak

2. Selepas melalui hari yang stres - menenangkan sistem saraf

3. Ketika mengalami senggugut atau perut kembung - membantu mengurangkan keradangan

4. Selepas aktiviti fizikal - membantu merehatkan otot

"Semua ini berasaskan sains, bukan magik. Namun kesannya boleh dirasai seperti 'magik' apabila diamalkan secara konsisten," ujarnya.

Artikel Lain