suria

Warga Singapura Terkejut Teman Wanita Penumpang QZ8501

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura yang merupakan teman lelaki Maria Florentina Widodo, penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang pada Ahad, masih terkejut dengan insiden yang menimpa kekasihnya itu. 

Ketika dihampiri media yang berkumpul di luar ruang menunggu Terminal 2, Lapangan Terbang Changi di sini Isnin, lelaki yang enggan dikenali itu kelihatan tergesa-gesa kerana mahu mendapatkan penerbangan ke Surabaya untuk berjumpa keluarga teman wanitanya.

"Saya masih terperanjat dengan berita kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dan mahu ke Surabaya sekarang supaya boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai pesawat tersebut," katanya sebelum masuk ke ruang menunggu waris keluarga dan rakan-rakan penumpang pesawat berkenaan. 

Beliau berkata, teman wanitanya itu dijadual pulang ke Singapura pada Ahad selepas bertemu keluarganya di Surabaya.

Sementara itu, seorang ejen pembekal pembantu rumah yang enggan dikenali, berkata Yuni Astutik, 40, dari Ponorogo, adalah antara penumpang pesawat tersebut.

Beliau berkata, Yuni pulang ke Surabaya bulan lepas kerana mempunyai urusan di kampungnya.

"Saya diminta hadir oleh majikannya untuk menyerahkan beberapa dokumen penting berkaitan Yuni untuk diserahkan kepada Kementerian Tenaga Manusia Singapura," katanya.

Artikel Lain