suria

QZ8501: Operasi Mencari Diperluas Ke Darat Selasa

JAKARTA: Operasi mencari dan menjejaki pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang akan diperluaskan ke kawasan darat pada Selasa, kata ketua agensi operasi mencari dan menyelamat Indonesia (Basarnas), F. H. Bambang Soelistyo.

"Operasi mencari esok akan diperluaskan ke kawasan darat, antaranya adalah bahagian barat di wilayah Kalimantan Barat," katanya pada taklimat media di sini, Isnin.

Beliau berkata, operasi melibatkan pelbagai negara iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan Korea Selatan, berterusan di perairan Jawa pada petang Isnin.

Operasi udara akan diteruskan pada pagi Selasa.

Rancangan itu menghentikan semua operasi pada waktu senja, seperti yang berlaku pada Ahad, hari di mana pesawat AirAsia itu dilaporkan hilang dalam penerbangannya dari Surabaya ke Singapura.

"Kita mahu operasi mencari selesai dan berjaya dengan cepat," kata Bambang Soelistyo.

Beliau berkata, satu objek yang dikesan pada pagi Isnin di perairan Jawa sebenarnya merupakan dari 'beacon' pencari peribadi yang kebiasaannya digunakan oleh pasukan penyelamat dan bukannya dari pesawat yang hilang.

Barsabas juga menggunakan sebuah kapal ke perairan di antara Pulau Bangka dan Pulau Belitung di mana dikesan terdapat tumpahan minyak.

Bambang Soelistyo berkata, tiada pengesahan sama ada tumpahan minyak itu milik pesawat QZ8501. Malah turut tiada tanda-tanda serpihan atau sebarang bentuk bangkai pesawat.

"Tetapi kita sedang membuat pemeriksaan. Sebuah kapal sedang dalam perjalanan ke sana ketika ini.

"Operasi mencari esok akan melibatkan tujuh sektor sedia ada dan empat lagi, dua di kawasan darat di wilayah Kalimantan Barat dan dua lagi di kawasan perairan selatan Pulau Belitung," katanya. - Strait Times/ANN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain