suria

Mangsa Banjir Di Johor Diminta Ikut Prosedur Mudahkan Agihan Bantuan

Salah seorang mangsa banjir membersih rumahnya di Kampung Plentong Baru, Johor Bharu. Foto: LIM CHENG KIAT / The Star

KLUANG: Mangsa banjir di negeri ini dinasihatkan supaya sentiasa mengikut prosedur pemindahan bagi memudahkan pengagihan bantuan olehpihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Md Jais Sarday berkata terdapat mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan, tetapi tidak mendaftarkan diri yang sekali gus menimbulkan kesukaran terutama untuk pengagihan bantuan.

"Saya harap semua pihak sama ada yang menyelia pusat-pusat pemindahan banjirdan mangsa harap dapat bekerjasama.

"Bagi kawasan yang biasa dinaiki air, mereka perlu bersedia untuk berpindahke pusat pemindahan," katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir dipusat pemindahan Kampung Mengkibol pada Jumaat.

Daerah Kluang merupakan daerah pertama di Johor yang dilanda banjir sehingga enam pusat pemindahan dibuka sejak awal pagi tadi.

Sehingga pukul 4 petang, seramai 432 mangsa daripada 105 buah keluarga dipindahkan di Kluang.

Md Jais berkata pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi banjir terutama selepas Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat luar biasa bakal melanda negeri ini dari 28 hingga 30 Disember ini.

"Sebanyak 628 pusat pemindahan banjir telah bersiap sedia yang boleh menampung seramai 170,000 mangsa di seluruh daerah," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota.

Seorang mangsa di Kampung Mengkibol, Kamisah Jantan, 42, berkata hampir setiap tahun dia berdepan masalah banjir.

Beliau berkata kali ini rumahnya mula dinaiki air kira-kira pukul 8 pagi sehingga paras lutut.

"Hati saya mula bimbang apabila hujan lebat tidak henti-henti sejak pukul 2 pagi. Walaupun sudah beberapa kali saya berdepan situasi ini, namun kali ini saya bertambah bimbang kerana turut menjaga seorang adik orang kurang upaya,"katanya. Mereka bagaimanapun kini selamat dipindahkan. -BERNAMA

banjir Johor

Artikel Berikut

Artikel Lain