suria

Kalimah Allah: Pekida Buat Laporan Polis Terhadap Guan Eng

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Jamaludin Yusof (depan lima dari kiri) menyerahkan laporan polis kepada Pengarah Media Jabatan Peguam Negara, Asmawar Samat yang mengesa Jabatan Peguam Negara menyegerakan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa menghina keputusan mahkamah apabila ingin menggunakan kalimah Allah di gereja di Pulau Pinang ketika di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada Selasa. --foto BERNAMA.
ALOR SETAR: Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Malaysia (Pekida) Daerah Kota Setar pada Selasa membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa orang bukan Islam di negeri itu boleh menggunakan kalimah Allah.

Penasihatnya Abdullah Ahmad yang mengetuai anggota Pekida dalam membuat laporan polis itu, berkata pihaknya meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap Lim yang cuba mempersendakan kalimah Allah dan agama Islam.
 
"Saya minta beliau (Lim) supaya menghormati agama Islam sepenuhnya supaya tidak akan berlaku pergaduhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Isu kalimah Allah ini tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan politik," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini.

Abdullah berkata bagi menangani masalah ini daripada berulang, umat Islam di seluruh negara perlu bersatu padu dalam menegakkan kemuliaan Islam dan tidak sewenang-wenangnya membiarkan agama Islam dipermainkan.

Lim, seperti dilaporkan beberapa portal berita pada 12 Dis lepas, memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah.

Beliau dilaporkan berkata larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.
Pekida, Guan Eng, kalimah Allah

Artikel Sebelum

Artikel Lain