suria

MKN Siap Sedia Hadapi Banjir Luar Biasa

Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir luar biasa melanda beberapa negeri di Pantai Timur. 

Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata hujan lebat dan air pasang besar dijangka berlarutan sehingga Sabtu ini dan dijangka mencetuskan banjir yang luar biasa.

Namun begitu, katanya, MKN telah membuat persediaan yang rapi walaupun banjir berlaku serentak di beberapa negeri dan keadaannya bertambah buruk. 

"Kami akan menggunakan aset-aset yang ada dengan sebaik-baiknya untuk menyalurkan bantuan dengan cepat kepada mangsa banjir. 
 
"Selain itu, kami akan menyediakan bekalan yang mencukupi bagi memastikan tidak berlakunya masalah terputus bekalan di pusat-pusat pemindahan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa.
 
Sambil memberi contoh, Thajudeen berkata sebuah helikopter dengan muatan bekalan makanan dan barangan bersiap sedia untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan.
 
"Berikutan laluan darat terputus, kami cuba menggunakan helikopter untuk menyalurkan bantuan tetapi malang sekali, cuaca buruk dan angin yang kuat telah menyebabkan helikopter tersebut menghadapi masalah mendarat. 

"Helikopter tersebut dalam kedudukan siap sedia dan apabila mendapat lampu hijau, kami akan terus menghantar bekalan makanan," katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku limpahan air di mana-mana empangan, Thajudeen berkata paras air masih terkawal dan di zon penampan.
 
"Kami akan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya bagi menjamin keselamatan penduduk," katanya. 

Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin buruk apabila lebih ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga tengah hari tadi.

Selain itu, bahagian utara Perlis turut dilanda banjir berikutan hujan berterusan dan 93 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini.

Di Perak, 170 orang di kawasan Lenggong, Sungai Siput dan Ipoh dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka dinaiki air sejak malam semalam manakala hampir 400 mangsa banjir di daerah Tenom dan Beaufort, Sabah ditempatkan di tujuh pusat pemindahan setakat 12 tengah hari ini.


Artikel Sebelum

Artikel Lain