suria

Selangor Tetap Mahu Adun BN Sebagai Pengerusi PAC Negeri

Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tetap dengan keputusannya melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri ini. 

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata atas sebab itu, BN Selangor perlu mengisi kekosongan kerusi ketua pembangkang yang turut berperanan sebagai pengerusi PAC.

"Negara membangun lain di seluruh dunia sememangnya memberikan jawatan pengerusi PAC kepada ketua pembangkang supaya semakan perbelanjaan dan pengurusan kewangan kerajaan negeri dapat dibuat.

"Sepatutnya mereka mengambil peluang ini bagi membuktikan mereka bersungguh-sungguh untuk memperbetul dan memastikan demokrasi dalam Selangor benar-benar mantap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu program memancing di sini, Ahad.

Pada 4 Disember lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor meminda peraturan tetap berkaitan yang mewajibkan ketua pembangkang dilantik sebagai pengerusi PAC. 

Berikutan itu, Adun Sungai Burong Datuk Mohd Shamsuddin Lias meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang Barisan Nasional Selangor berkuat kuasa 8 Disember lepas kerana enggan menerima jawatan sebagai pengerusi PAC.

Beliau mendakwa PAC negeri dimonopoli Adun Pakatan Rakyat selain dilihat lebih berunsur muslihat politik.

Artikel Lain