suria

Warga Britain Maut Dalam Kemalangan Di Terowong SMART

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Britain maut dan seorang guru wanita cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) di sini, Ahad.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata, dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi itu, mereka dipercayai dalam perjalanan menghala ke ibu negara.

"Kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar dinding terowong itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata warga Britain itu, Thomas George, 22, cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala guru wanita berumur 25 tahun itu, yang memandu kereta berkenaan, cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Markandan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, dua lelaki maut dalam nahas membabitkan sebuah lori tiga tan dan kereta di Kilometer 47 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, Hulu Selangor pada kira-kira 2.20 pagi Ahad.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor berkata, pemandu lori itu dikatakan keluar dari simpang secara mengejut dan mengakibatkan pemandu kereta Proton Wira Aeroback gagal mengawal kenderaannya.

"Pemandu kereta itu, yang turut dinaiki lima penumpang lelaki, gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan terbabas dan terbalik di bahu jalan.

"Pemandu dan seorang penumpang kereta itu yang masing-masing berumur 20 dan 15 tahun maut di tempat kejadian manakala empat penumpang lain cedera dan kini dirawat di Hospital Selayang," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Zulkepli Bedin ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Artikel Lain