suria

Rumpai Miang Mexico Dikesan Di Enam Daerah Di N.Sembilan

SEREMBAN: Setakat ini dianggarkan kira-kira 10 hektar kawasan di enam daerah di Negeri Sembilan dikenalpasti ditumbuhi rumpai miang Mexico atau nama saintifiknya parthenium hysterophorus, kata Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Mustapa Umar.

Beliau berkata, enam daerah berkenaan ialah Seremban, Kuala Pilah, Port Dickson, Tampin, Jelebu dan Rembau.

"Pengesanan rumpai miang Mexico ini adalah berdasarkan bancian sehingga 18 Disember. Keadaan ini agak membimbangkan ditambah pula dengan satu lagi aduan yang baharu sahaja kami terima daripada orang awam iaitu di Batu 10, Labu (daerah Seremban).

"Justeru, pemeriksaan akan dibuat esok, selain terus menjalankan aktiviti penghapusan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti sebelum ini," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan

berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Mustapa berkata, kes ini tidak asing lagi di negara Australia di mana haiwan ternakan yang diimport dari sana seperti kambing dan lembu menjadi punca utama kepada pembiakan tumbuhan ini. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, sebuah jawatankuasa dengan penubuhan pasukan khas akan dibentuk bagi proses pemantauan di samping mewar-warkan kepada masyarakat umum mengenai bahaya tumbuhan ini. 

Katanya, pasukan ini merangkumi jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian serta FELCRA, RISDA dan lain-lain, katanya ketika dihubungi Bernama

Katanya, masih ramai lagi penduduk negeri ini yang tidak mengetahui akan tumbuhan ini yang seakan-akan menyamai bunga tahi ayam dan ulam raja yang boleh memudaratkan mereka.

"Bezanya, tumbuhan ini ada bunga putih. Bunga inilah yang kita kesan masyarakat India menggunakannya untuk tujuan keagaamaan (sembahyang) dan majlis perkahwinan. 

"Ada juga orang Melayu menggunakan bunga ini untuk tujuan dekorasi tambahan pada barang-barang hantaran juga untuk majlis perkahwinan," kata beliau.

Artikel Lain