suria

Kerajaan Beri Tumpuan Tingkat Pendapatan, Kurangkan Jurang Pendapatan - PM

Najib Tun Razak.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada dua aspek - peningkatan pendapatan berdasarkan produktiviti dan mengurangkan perbezaan pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah dalam memacu negara mencapai status negara maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ekonomi negara perlu memastikan majoriti rakyat dapat merasakan pendapatan mereka bertambah menerusi peningkatan produktiviti.

"Apabila pendapatan rakyat semakin bertambah, barulah istilah negara maju membawa erti kepada rakyat.

"Jika jurang pendapatan antara miskin dan kaya semakin melebar, ia akan mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam sesebuah negara," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Bajet 2015 dan Persaraan Perbendaharaan Malaysia 2014 di Kementerian Kewangan di sini malam ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata berdasarkan laporan Bank Dunia yang dikeluarkan dua hari lepas, menunjukkan bahawa hasil daripada dasar yang diamalkan kerajaan itu, jurang perbezaan pendapatan di Malaysia bertambah baik.

"Namun kita masih belum mencapai tahap pendapatan saksama seperti di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), dan perlu ada usaha untuk dilaksanakan," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, Malaysia memerlukan asas yang kukuh supaya mampu berhadapan dan pulih daripada sebarang bentuk sentimen.

"Jika fundamental ekonomi negara lemah, krisis ekonomi akan berlarutan seperti yang berlaku di Eropah, dan tidak ada negara yang terkecuali daripada krisis, termasuk negara maju," katanya.

Najib berkata antara aspek yang dapat memastikan fundamental negara kukuh ialah hasil negara mestilah mampan dan kukuh.

"Justeru keputusan untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) dalam suasana ekonomi terkini, nampaknya keputusan yang amat tepat," katanya.

"Saya katakan amat tepat kerana bila hasil negara terjejas, CBP akan tampung hasil negara dengan penambahan lebih ketara.

"Saya tidak berani andai (pertambahan) banyak mana, tapi kita doakan pelaksanaan CBP memberi kesan kepada hasil negara yang kian bertambah. Dan bila hasil kian bertambah, kita boleh bantu rakyat," kata Perdana Menteri.

Najib berkata sebagai Menteri Kewangan beliau berbangga atas komitmen petugas kementerian itu dalam penyediaan Bajet 2015 yang mendapat sambutan positif daripada rakyat.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam ucapannya berkata dalam trend harga minyak dunia semakin menurun dan pasaran mata wang yang tidak begitu baik, ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh dengan sasaran lebih 5.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini. 

Katanya pendaftaran CBP sehingga semalam juga telah mencapai lebih 229,700 syarikat dengan setiap hari lebih daripada 4,000 syarikat mendaftar.

Jumlah ini lebih tinggi berbanding sasaran awal syarikat yang mendaftar CBP iaitu sebanyak 120,000 syarikat, katanya.

"Diharapkan jumlah syarikat yang mendaftar akan lebih daripada sasaran baharu iaitu 240,000 syarikat akan mendaftar sehingga akhir Disember," katanya.

Seramai 21 warga kerja Kementerian Kewangan daripada pelbagai gred dan bahagian yang bersara sejak Jun hingga Disember 2014, diraikan pada majlis malam Jumaat.
Najib Tun Razak, Bajet 2015

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Remaja Sawan Mati Lemas Di Hadapan

Artikel Lain