suria

Pasukan Kaji Isu Perkahwinan Bawah Umur Ditubuh - KPWKM

Nurulain Mohammad, 15, berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Zulhelmi Kaharudin, 21 pada majlis persandingan mereka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh pada Ahad lalu.
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak telah menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada agensi kerajaan yang berkaitan, ahli akademik dan aktivis kanak-kanak bagi meneliti isu perkahwinan bawah umur.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KPWKM berkata membenarkan kanak-kanak bawah umur berkahwin tanpa asas yang kukuh bermakna meletakkan beban dan tanggungjawab berat sebagai suami isteri atau ibu bapa atas bahu mereka.

"Jika mereka belum bersedia dengan tanggungjawab berat ini, dikhuatiri ia membuka lebih ruang berlaku perceraian pada usia muda," katanya.

Malahan, kementerian berkata perkara tersebut juga boleh menyebabkan perkembangan kematangan terbantut termasuk menjejaskan psikologi, emosi dan pertumbuhan fizikal mereka.

Antara perkara yang dicadangkan ialah kemungkinan untuk mensyaratkan penyediaan dua jenis laporan iaitu laporan kesihatan oleh doktor perubatan dan laporan sosial oleh pakar psikologi kanak-kanak.

Kedua-dua laporan ini mungkin dapat membantu Hakim Syarie (untuk kes orang Islam) dan Ketua Menteri atau Menteri Besar atau Menteri Wilayah Persekutuan seperti yang dinyatakan di bawah subseksyen 21(2), Akta 164 (untuk kes orang bukan Islam) membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum memberi kelulusan untuk perkahwinan bawah umur, jelas KPWKM. 

Kementerian berkata golongan yang berkahwin muda juga dianggap mempunyai risiko kes penceraian paling tinggi dalam kalangan pasangan dan boleh menyebabkan masalah sosioekonomi, fizikal dan mental.
perkahwinan bawah umur, KPWKM

Artikel Sebelum

Remaja Sawan Mati Lemas Di Hadapan

Artikel Lain