suria

Surendran Dibenar Rujuk Dua Persoalan Undang-Undang Ke Mahkamah Tinggi

N. Surendran.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membenarkan anggota Parlimen Padang Serai N. Surendran merujuk dua isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi bersabit dengan tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Kedua-dua persoalan itu adalah sama ada Akta Hasutan 1948 adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan/atau Akta itu bercanggah dengan Perkara 10, 8 dan 5 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Ahmad Bache berkata Mahkamah Sessyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan apa-apa persoalan undang-undang berhubung dengan isu perlembagaan.

"Saya sedar bahawa dalam memutuskan sama ada untuk membenarkan permohonan seperti ini, mahkamah yang mulia ini perlu mengambil kira hakikat bahawa mahkamah yang lebih tinggi tidak harus dibebankan atau dibebani dengan rujukan yang tidak perlu terutama apabila isu-isu perlembagaan dianggap telah diselesaikan," katanya.

Hakim juga menangguhkan prosiding di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan daripada Mahkamah Tinggi dan mengembalikan kedua-dua persoalan itu ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan.

Surendran, 48, naib presiden PKR, menfailkan permohonan itu pada 15 Oktober tahun ini.

Beliau didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan berkaitan kes liwat kedua ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesalahan itu didakwa dilakukan menerusi YouTube di Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya antara 2 petang dan 4 petang pada 8 Ogos.

Surendran menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabitan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara Surendran diwakili peguam P.Puravalen.
N. Surendran, PKR, perlembagaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain