suria

Jabatan Kastam Nafi Caj Rawatan Hospital Swasta Naik Sehingga 5%

PETALING JAYA: Jabatan Kastam menafikan khabar angin bahawa caj industri penjagaan kesihatan swasta akan meningkat sebanyak 5% akibat perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sebaliknya, kos perkhidmatan tersebut dijangka mengalami peningkatan yang sedikit iaitu antara 1% hingga 2%, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad.

"Kami ingin memaklumkan kenyataan tersebut bukan sahaja tidak betul malahan menimbulkan situasi panik dan keliru dikalangan pesakit dan pengguna. 

Pada Isnin lalu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Jacob Thomas berkata rakyat Malaysia perlu membayar caj tambahan sekurang-kurangnya sebanyak 5% untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital swasta apabila GST mula dilaksanakan pada April tahun depan.

Beliau berkata kebanyakan doktor di hospital swasta berkhidmat sebagai 'perunding bebas' yang tugas mereka dianggap Jabatan Kastam sebagai 'perkhidmatan sumber luar' yang boleh dikenakan cukai.

Namun, Khazali dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, walaupun perkhidmatan doktor pakar boleh dikenakan GST, kos perkhidmatan penjagaan kesihatan dijangka meningkat sebanyak 1% dan 2%.

"Buat masa ini, di bawah Akta Cukai Perkhidmatan, Cukai Perkhidmatan 6% dikenakan ke atas penyediaan bilik dan makanan oleh pihak Hospital Swasta. Namun, cukai tersebut akan dimansuhkan kerana GST tidak dikenakan ke atas bilik dan makanan ke atas pesakit," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya komponen kos bilik adalah antara 10% hingga 30% daripada jumlah kos yang dikenakan kepada pesakit dan penjimatan ini perlu disalurkan kepada pesakit.

Katanya, beberapa bekalan perubatan seperti sarung tangan, katil dan peralatan hospital tertakluk kepada cukai jualan dengan kadar 10%.

Namun, beliau berkata dengan pelaksanaan GST, akan berlaku sedikit penjimatan kerana cukai tersebut adalah pada kadar 6%.

"Tiada GST akan dikenakan terhadap gaji dan imbuhan," katanya.

Malah, beliau berkata, Peralatan Perubatan Utama bagi Hospital Swasta juga akan diberi pelepasan di bawah GST (Relief) Order 2014 yang membawa kepada kesan sifar.

Artikel Lain