suria

Isu OKU: Rumit Tarik Balik Elaun, Tiada Bukti Hasil Jualan Tisu 'Lebat' - MAB

Ganesan Supayah

PETALING JAYA: Menarik balik Elaun Pekerja Cacat (EPC) untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berkerja menjual tisu adalah rumit, walaupun hakikatnya pendapatan mereka dipercayai melebihi kadar layak untuk menerima elaun tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Datuk Ganesan Supayah berkata, selain sensitif, penamatan bantuan kewangan itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan bahawa pendapatan mereka adalah tinggi dan konsisten setiap bulan.

"Kita kena buktikan. Mana mungkin kita dapat buktikan jumlah jualan mereka dengan menjual tisu.

"Kita memang sedar pendapatan mereka (penjual tisu) lebih memberangsangkan berbanding pekerjaan lain, tapi mungkin dia cuma kerja  sambilan, dapat sehari antara RM30 hingga RM40 sahaja tanpa ada bukti kukuh dari segi angka," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, mStar Online membuat pendedahan tentang hasil lumayan yang diperoleh penjual tisu OKU buta sehingga mereka mampu mengupah pengiring dan pemandu khas untuk melakukan 'pekerjaan' tersebut.

Dengan purata pendapatan dipercayai RM2,500 sebulan, timbul persoalan tentang wang EPC yang diterima, di mana elaun tersebut diperuntukkan kepada semua OKU berkerja yang mempunyai pendapatan RM1,200 ke bawah sahaja.

Ganesan berkata, walaupun isu ini kelihatan rumit untuk ditangani, namun ia tidak boleh dibiar berterusan kerana ia akan memberi kesan sama ada dari segi imej keseluruhan OKU cacat penglihatan atau negara.

Tambahnya, hasil memberangsangkan yang diterima daripada jualan tisu juga akan menggalakkan rakan-rakan senasib untuk melakukan 'pekerjaan' yang sama dan akhirnya mereka terlepas peluang berdikari untuk mencari rezeki.

"Apatah lagi aktiviti ini dilihat 'tidak salah' walaupun sebenarnya ia adalah umpama minta sedekah yang 'terselindung' di sebalik aktiviti berniaga.

"Tapi jika kita tak buat sesuatu, ia akan menjadi 'penyakit' dan lama-lama kita akan tengok ramai orang buta jual tisu di merata tempat," katanya.

Mengakui isu ini bukan sesuatu yang baharu, beliau berkata, ketika ini, semakin ramai OKU buta yang berminat menjalankan aktiviti mudah untuk cepat mendapat wang sehingga menyebabkan berlaku persaingan sesama sendiri.

Katanya, ini menyebabkan golongan yang bergantung hidup dengan aktiviti ini terpaksa mencari alternatif lain, termasuklah mengupah pemandu supaya dapat ke tempat lebih jauh bagi mengelak persaingan yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Mengulas lanjut, Ganesan berkata, adalah mustahil untuk menghapuskan sepenuhnya aktiviti yang sudah sinonim dengan orang buta ini, tetapi ia mampu dikurangkan.

"Tak banyak yang mampu dibuat MAB tapi kita telah dan sentiasa bersedia untuk berkerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan penguatkuasa dalam usaha menangani isu ini, termasuk berbincang, bertukar idea dan melalukan pemantauan serta merangka perancangan berkesan.

Artikel Lain