suria

Doktor Pelatih Berhak Cuti Selepas Bertugas 70 Jam - MMA

- Gambar hiasan

PETALING JAYA: Mustahil untuk seorang doktor pelatih bekerja sehingga 90 jam dalam seminggu menerusi sistem 'housemanship', kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr H. Krishna Kumar berkata, mereka biasanya akan bekerja 60 hingga 70 jam seminggu dan berhak mendapat cuti wajib.

"Walau bagaimanapun, ramai yang tahu bahawa sesetengah doktor melakukan perubahan syif untuk mendapat tempoh bercuti lebih lama selepas bekerja untuk tempoh yang panjang.

"Amalan ini biasanya dihalang apabila diketahui ketua jabatan atau pakar yang bertanggungjawab," katanya.

Dr Krishna memberi respons kepada surat yang disiarkan dalam akhbar The Star pada Isnin di mana penulis telah menggesa kementerian untuk menyiasat kes-kes doktor diugut dan dipaksa bekerja sehingga 90 jam seminggu.

Dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook, Khamis, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sistem kerja yang fleksibel yang dilaksanakan pada 2011 memerlukan doktor pelatih bekerja dalam tempoh purata 65-75 jam seminggu.

"Doktor pelatih berhak untuk bercuti sehari seminggu tetapi tidak semestinya perlu bercuti pada hujung minggu," katanya.

Dr Krishna mengingatkan mereka bahawa kehidupan doktor tidak mudah dan tidak akan ada pertukaran syif apabila mereka menjadi seorang pegawai perubatan atau pakar.

Namun begitu, beliau berkata, setiap aduan perlu dinilai secara bebas.

"Jika doktor pelatih mempunyai masalah dengan kerja, mereka boleh membuat aduan kepada pakar yang bertanggungjawab atau ketua jabatan atau pengarah hospital," katanya.

Lebih-lebih lagi, kebanyakan hospital mempunyai ketua untuk menyalurkan aduan mereka dan mereka juga dijemput ke kementerian untuk memberikan maklum balas, katanya.

"Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa tidak ada mekanisme maklum balas atau aduan," katanya.

Dr Krishna juga berkata, hasrat orang muda menjadi doktor juga harus diteliti.

"Jika mereka dipaksa masuk dan tidak mempunyai minat dalam kerjaya ini, mereka tetap akan meninggalkannya tidak kira apa alasan yang diberikan," katanya.

Artikel Lain