suria

Lebih 900,000 Hektar Hutan Di Perak Diwarta Hutan Simpan Kekal

IPOH: Sejumlah 995,284.96 hektar hutan simpan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) iaitu melibatkan 68 kawasan seluruh Perak sehingga 30 Oktober lepas, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, dalam tempoh 2006 hingga 2014, sejumlah 15,867.01 hektar hutan simpan yang telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal dikeluarkan bagi tujuan pembangunan antaranya untuk skim perumahan, kawasan Orang Asli, perlombongan dan pertanian.

"Kerajaan negeri mewartakan sejumlah 18,866 hektar kawasan tanah kerajaan sebagai hutan simpanan kekal dengan nama Hutan Simpan Aman Jaya pada 9 Mei 2013.

"Sehingga 31 Oktober 2014, lima kawasan tanah kerajaan diluluskan untuk diwartakan sebagai HSK iaitu Hutan Simpan Lekir seluas 616 hektar, Hutan Simpan Kelip-Kelip (152.98 hektar), Hutan Simpan Piah (2,362 hektar), Hutan Simpan Teluk Muroh (116.6 hektar) dan Hutan Simpan Teluk Rubiah (1,502 hektar).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Husin Din (PAS-Selinsing) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa.

Mengenai kes pencerobohan HSK, Zambry berkata, ia bukan hanya melibatkan aktiviti pencerobohan hutan, namun termasuk juga pengambilan tanah merah dan pasir.

Katanya pencerobohan hutan simpan kekal adalah melibatkan kawasan pedalaman dan kawasan tepi pantai.

"Penyeludupan dan pengambilan tanah merah yang berlaku di Gunung Semanggol, kerajaan negeri mendapati ia turut melibatkan pengambilan pasir yang mengandungi kandungan bijih.

"Kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian dan memantau kes pencerobohan tanah merah ini dan Pejabat daerah perlu mengambil tindakan, perkara seumpama ini.

"Ada yang menceroboh bukan hanya mengambil pasir tapi juga menebang pokok termasuk gaharu. Perkara yang mencurigakan di kawasan tertentu perlulah dilaporkan segera kepada kerajaan negeri," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu).
 

Artikel Berikut

Artikel Lain