suria

Belum Tentu PR Dapat Bertahan Pada PRU-14

Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Masih belum pasti Pakatan Rakyat (PR) dapat bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Jika anda tanya saya sama ada tiga parti dalam PR akan mampu bertahan sehingga PRU-14, saya tidak dapat menjawabnya kerana saya pun tidak tahu," katanya dalam posting terbaharu di blognya pada Isnin.

"Memang bukan lagi rahsia bahawa ada perkara yang tidak berjalan lancar dalam PR, oleh sebab itu Majlis Pimpinan Tertinggi PR tidak dapat bertemu selama enam bulan untuk memperkukuhkan polisi dan prinsip bersama," katanya.

Kit Siang berkata, kerangka kerja dan polisi bersama PR merupakan dua prasyarat yang dapat menyelamatkan gabungan parti pembangkang itu dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Beliau juga tidak ragu-ragu untuk menyatakan mereka yang mengundi pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu berharap untuk melihat PR menang dalam PRU-14.

"Perjanjian inilah antara faktor yang menyebabkan rakyat Malaysia yakin dan memberikan keutamaan terhadap polisi kerja dan konsensus PR," katanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, polisi dan kerangka kerja bersama tersebut telah pun 'dilangggar' terutamanya dalam isu hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

"Oleh sebab itu, PR terpaksa membayar harga yang tinggi dan ketiga-tiga parti dalam PR, termasuk PAS terutamanya dalam soal undi popular bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Namun apa yang lebih utama ada keyakinan rakyat kepada parti itu," katanya.

PRU-14, Pakatan Rakyat, Lim Kit Siang

Artikel Lain