suria

ROS Arah MIC Tangguh Pemilihan Semula Jawatan Dan AGM Sayap

Rao ketika bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengarahkan MIC untuk menangguhkan pemilihan baharu bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) dalam tempoh tiga bulan, kata seorang pegawai kanan parti yang mengesahkan perkara itu di sini.

Beliau berkata, dua pegawai ROS menyerahkan surat kepada setiausaha agung parti, A. Prakash Rao di pejabatnya di ibu pejabat MIC pada pukul 6.30 petang Jumaat.

Beliau berkata, ROS turut meminta parti supaya menangguhkan pemilihan dalam lapan bahagian serta jawatan tertentu dalam empat lagi bahagian dan satu cawangan dalam tempoh sebulan.

Pegawai itu berkata, ROS turut mengarahkan parti supaya tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sehingga isu itu diselesaikan.

Susulan daripada arahan itu, MIC telah menangguhkan AGM bersama untuk sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera MIC, yang dijaduakan berlangsung pada Ahad ini.

Ketua Pemuda MIC, C. Sibarraajh mengesahkan perkara itu pada Jumaat bahawa Prakash meminta supaya AGM bersama ditangguhkan.

Prakash, ketika dihubungi berkata, beliau akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan isu tersebut pada pukul 11 pagi Sabtu.

Mengikut tradisi, AGM bersama itu akan dirasmikan oleh presiden parti, Datuk Seri G. Palanivel tetapi memandangkan beliau kini di luar negara, timbalan presiden parti, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dijadualkan menggantikannya.

MIC dijadualkan mengadakan perhimpunannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan merasmikannya pada 13 Disember depan.

Bagaimanapun, pegawai itu berkata, majlis itu terpaksa ditangguhkan.

Beberapa pemimpin MIC termasuk bekas setiausaha agung, Datuk Jaspal Singh, bekas ketua pemuda, Datuk T. Mohan dan Datuk S.A. Vigneswaran yang kalah dalam merebut jawatan naib presiden, telah membuat aduan mengenai isu yang melanda pemilihan parti, pada 30 November dan 1 Disember tahun lepas.

Beberapa yang lain, yang bertanding dan kalah dalam pemilihan CWC turut membuat aduan yang sama pada Januari, dengan mendesak ROS membatalkannya dan meminta supaya pemilihan baharu diadakan semula.

ROS telah menjalankan siasatan termasuk merakamkan keterangan daripada para pengadu dan pegawai-pegawai parti termasuk bekas setiausaha agung, A. Sakhthivel dan anggota jawatankuasa pemandu pemilihan parti, Tan Sri K. Kumaran sebelum membuat satu keputusan.

Mereka turut mengunjungi ibu pejabat MIC beberapa kali.

Para pengadu turut menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada Oktober lalu selepas mereka tidak puas hati dengan tindakan ROS yang mengambil masa lama untuk membuat keputusan.

Jaspal ketika dihubungi berkata, berdasarkan laporan dalam talian mengenai pemilihan semula itu, keputusan ROS menunjukkan bahawa mereka telus dalam membuat keputusan itu.

“Keputusan mereka merupakan satu permulaan baharu untuk parti-parti politik di negara ini dan ia menunjukkan bahawa sokongan mereka adalah adil dan pemilihan secara bebas,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan semula perlu dilakukan bagi jawatan naib presiden dan CWC serta pemilihan baharu dalam beberapa bahagian.

“Akan berlaku perubahan dalam delegasi, dan ia hanya adil untuk mengadakan pemilihan baharu,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain