suria

Ketua Wanita PKR Dihalang Masuk Sarawak

KUCHING: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dihalang daripada memasuki Sarawak buat kali kedua tahun ini, pada Ahad.

Ahli Parlimen Ampang itu menaiki penerbangan Malindo Air pada pukul 7.15 pagi dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Turut bersama beliau dalam penerbangan itu ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 9.30 pagi dan menuju ke kaunter imigresen. Saya lepasi pemeriksaan tanpa masalah," kata Nik Nazmi pada Ahad.

Bagaimanapun seorang pegawai imigresen meminta Zuraida supaya menunggu sebelum diberitahu bahawa namanya berada dalam senarai hitam.

Zuraida kemudiannya diarahkan pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat Malindo Air pada pukul 4.30 petang.

Mereka berada di Sarawak sebagai sebahagian daripada kempen 'Rakyat Hakim Negara' di seluruh negara untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zuraida pertama kali dihalang memasuki Sarawak ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada Mac.

Bagaimanapun beliau dibenarkan memasuki kembali negeri itu pada 19 April lalu ketika berkempen sempena pemilihan PKR.
PKR, Zuraida Kamaruddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain