suria

Muhyiddin Tiba Di Beijing Untuk Lawatan Rasmi Enam Hari

BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini malam Ahad untuk lawatan rasmi enam hari ke China bertujuan untuk meningkatkan lagi perkongsian strategik yang komprehensif antara kedua-dua negara.

Pesawat khas yang membawa Muhyiddin dan rombongan mendarat di Lapangan Terbang Beijing di sini, pada 10.15 malam (10.15 waktu Malaysia).

Muhyiddin dijadual mengunjungi Timbalan Perdana Menteri China Zhang Gaoli di Great Hall of the People, pejabat timbalan perdana menteri itu, di sini, Isnin sebelum menghadiri majlis makan malam dengan masyarakat Malaysia di sini.

Muhyiddin juga akan menemui 500 peneraju utama industri China semasa dialog meja bulat dan makan malam, di sini, pada Selasa, dalam usaha untuk menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia serta meningkatkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Pada Selasa, Muhyiddin dijadual melawat Beijing Foreign Studies University (BFSU), di sini dan beliau akan dianugerahkan ijazah kehormat doktor persuratan atas sumbangannya dalam bidang pendidikan.

Muhyiddin juga dijadual melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Huawei di sini, satu daripada pembekal penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang terkemuka di dunia.

Beliau akan berlepas ke Shanghai pada malam Selasa dan semasa di sana, beliau akan melawat institusi pendidikan dengan fokus kepada program untuk penilaian pelajar antarabangsa pada hari berikutnya.

Pada Khamis, Muhyiddin akan berada di Chongqing dan dijadual berucap pada Forum Ekonomi China Sedunia kali ke-6 sebelum berlepas pulang ke tanah air pada Jumaat.

Artikel Lain