suria

Zahid: Tiga Elemen Penting Dalam Pindaan Akta Hasutan

MELAKA: Tiga elemen akan dipertimbangkan dalam meminda dan mengukuhkan Akta Hasutan 1948 termasuk provokasi di internet dan media sosial, sensitiviti agama serta gesaan untuk memisahkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan penasihat undang-undang kementerian dan Jabatan Peguam Negara untuk melihat apa yang perlu dipinda dan diperkukuh dalam akta berkenaan.

"Ketiga-tiga elemen diambil kira kerana ia adalah penting untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat daripada latar belakang yang berbeza. Tidak ada media sosial apabila undang-undang sedia ada mula diperkenalkan pada 1948.

"Malah masih belum wujud istilah ini (media sosial) pada masa itu dan saluran komunikasi juga adalah terbatas.

"Jadi sudah tiba masanya kita meminda undang-undang supaya ia relevan untuk masa kini dan generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bikers 4 Gaza di Ayer Keroh di sini, pada Ahad.

Pindaan itu akan dibahaskan di Parlimen pada Mac depan.

Menurut Ahmad Zahid, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah undang-undang berbeza bagi menangani salah laku di internet.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain