suria

Harga Runcit Diesel Naik Tiga Sen Kerana Kerajaan Banyak Tampung Subsidi

KAMPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kenaikan harga runcit diesel sebanyak tiga sen seliter bermula Isnin disebabkan kerajaan telah banyak menampung subsidi sebelum ini.

"Dari segi diesel ini, subsidi yang diberikan terlalu besar. Oleh kerana itu bila kita kaji dan bincang semula, kita tidak boleh turunkan harga.

"Berdasarkan pengapungan harga ini, tiada pilihan bagi kita untuk naikkan harga tiga sen seliter," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar raya Giant baharu di sini, Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan memantau pasaran harga pada bulan ini bagi menetapkan harga runcit petrol dan diesel untuk bulan berikutnya.

"Kita akan mengkaji beberapa pendekatan baru berdasarkan kepada maklum balas daripada peringkat akar umbi, rakyat," kata beliau.

Berkuatkuasa Isnin, kerajaan mengumumkan harga runcit RON97 turun sebanyak sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 pula turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter.

Bagaimanapun, harga runcit bagi minyak diesel dinaikkan kepada tiga sen seliter kepada RM2.23 seliter.

Harga runcit RON97 kini ialah RM2.55 seliter, RON95, RM2.30 seliter manakala diesel ialah RM2.20 seliter.

Harga baharu ini akan berkuat kuasa hanya untuk Disember.

Ditanya mengenai aduan pengedar petrol dan diesel yang mendakwa mengalami kerugian kerana membeli pada harga tinggi sebelum harga runcit bahan api itu diturunkan, Hasan berkata kerajaan sedang meneliti perkara tersebut.

"Kami mahu menggembirakan semua pihak dan cuba untuk memudahkan pihak pengedar petrol dan diesel," katanya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Hasan berkata, susulan penurunan harga runcit petrol, pengeluar dan pemborong juga perlu bertindak serupa dengan menurunkan harga barangan.

Mengenai pembukaan pasar raya Giant baharu di sini, Hasan berkata, kerajaan hanya meluluskan pembukaan pasar raya baharu di satu-satu kawasan selepas berpuas hati kewujudan pasar raya itu boleh memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Pasar raya keenam Giant di Perak itu dibangunkan dengan kos RM58 juta dan disasar dapat menampung keperluan pengguna di kawasan bekas perlombongan yang kini merupakan hab pendidikan negeri Perak.


diesel, subsidi, Hasan Malek

Artikel Lain