suria

Lebih Banyak Penyelidikan Perlu Mengenai Tanah Gambut - Fadillah Yusof

Fadillah Yusof

SIBU: Lebih banyak penyelidikan masih perlu dilakukan mengenai tanah gambut di negara ini memandangkan keadaan tanahnya menyukarkan usaha untuk melaksanakan projek infrastruktur, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, oleh itu tumpuan perlu dilakukan bagi membangunkan teknologi dan bahan pembinaan yang lebih baik bagi keadaan tanah seperti itu yang akan mengurangkan secara ketara kos pembinaan jalan raya, bangunan, kemudahan awam dan lain-lain dan penyelenggaraannya selepas itu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Institut Penyelidikan Teknologi Tanah Gambut (Petri) Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) di sini, beliau berkata, usaha membangunkan projek infrastruktur di atas tanah gambut masih merupakan cabaran yang besar kepada Jabatan Kerja Raya.

"Kita mempunyai kira-kira 2.6 juta hektar tanah gambut di seluruh negara dan daripada jumlah itu 80 peratus adalah di Sarawak, 13 peratus di Semenanjung dan lima peratus di Sabah.

"Yang jelas cabarannya adalah di Sarawak. Kita tidak boleh mengelak tetapi melaksanakan banyak infrastruktur, kemudahan awam, perparitan dan projek-projek lain dengan keadaan tanah yang sangat sukar ini pada kos yang sangat tinggi.

"Kementerian saya, misalnya, telah membelanjakan RM25 juta dalam tempoh dua tahun yang lalu hanya untuk terus menaik taraf jalan bandar Sibu sejauh 24 kilometer ke Jalan Lapangan Terbang Sibu kerana masalah itu," katanya.

Fadillah berkata, dengan Sarawak membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharuinya (Score) dan menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo, keperluan untuk menghasilkan teknologi pembinaan dan bahan-bahan bangunan yang lebih baik adalah paling diperlukan.

Mengenai Petri, beliau berkata, penubuhannya adalah tepat pada masanya kerana Sibu, terletak di wilayah tengah negeri, mempunyai kira-kira 550,000 kilometer persegi kawasan tanah gambut.

Dengan itu ia boleh menarik pengalaman dan kepakaran kontraktor tempatan.

Katanya, kementeriannya, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, badan-badan pembinaan dan institusi penyelidikan di negara ini boleh bekerjasama untuk meneliti dan menangani isu pembinaan yang berkaitan dengan tanah gambut.

"Kita boleh mengumpul idea-idea pakar dari dalam dan luar negara untuk membantu kami mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman mereka.

"Kita perlu menggunakan sains dan teknologi untuk bergerak ke hadapan dan memperbaiki sistem penyampaian kerajaan untuk manfaat rakyat," katanya.

Fadillah juga melancarkan seminar sehari mengenai tanah gambut yang dihadiri 70 peserta dengan tiga kertas kerja utama dan 10 kertas kerja teknikal dibentangkan.


Artikel Lain