suria

TPM Adakan Lawatan Rasmi Ke China Hari Ini

Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi enam hari ke China bermula Ahad.

Beliau akan diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri, tiga Anggota Parlimen dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar malam Sabtu, Muhyiddin dijadual mengunjungi tiga bandar raya utama di China iaitu Beijing, Shanghai dan Chongqing. 

Lawatan beliau merupakan satu daripada elemen utama sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik ke-40 antara Malaysia dan China.
 
"Ia juga bertujuan mengukuhkan lagi usaha Malaysia dalam mempertingkat hubungan dan kerjasama dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara," kata kenyataan itu.

Selain itu, lawatan Muhyiddin memberi peluang untuk memupuk kesefahaman lebih erat dan membina komitmen bersama ke arah menjalinkan kerjasama strategik yang lebih bersepadu antara Malaysia dan China.

Semasa lawatan itu, timbalan perdana menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dan menteri pendidikan China. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dijadual melawat Beijing Foreign Students University (BFSU) untuk melancarkan Program Pengembangan Bahasa Melayu di China. 

"Beliau juga akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Presiden BFSU," kata kenyataan itu.

Muhyiddin turut dijadual melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Huawei di Beijing bagi melancarkan program 'Telcom Seeds for the Future'. 

Selain itu, timbalan perdana menteri akan mengadakan Mesyuarat Meja Bulat dengan ketua-ketua industri China. 

Semasa di Shanghai pula, Muhyiddin akan melawat Shanghai Normal University.

Beliau juga dijadual menyampaikan ucap tama pada Forum Ekonomi China Dunia Ke-6 di Chongqing, yang berlangsung dua hari bermula 4 Disember ini. 

Muhyiddin Yassin, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain