suria

PAU 2014: Sunnah Wal Jamaah Perlu Dalam Perlembagaan - Puteri Terengganu

KUALA LUMPUR: Perkataan Sunnah Wal Jamaah perlu dimasukkan dalam Perlembagaan negara bagi menjamin kedaulatan dan kesucian agama Islam di negara ini, kata wakil Puteri Umno Terengganu.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri itu, Rozita Ismail menggesa kerajaan supaya meminda Perkara 3 (1) Perlembagaan untuk tujuan itu.

Beliau berkata, pindaan tersebut perlu kerana undang-undang syariah dicabar secara terbuka dengan beberapa tuntutan yang membenarkan perkara diharamkan dalam hukum syarak.

“Gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) yang kononnya bertulang belakangkan konsep hak asasi manusia menuntut supaya golongan tersebut diiktiraf perundangan Malaysia.

“Mereka yang berani atau kita mula menjadi kecut? Malah saya semakin terluka dengan kesediaan umat Islam yang sanggup menjual kesucian Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  di sini, Sabtu.

Justeru, Rozita berkata, pergerakan sayap Umno ini tidak akan berkompromi dengan perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan Islam.

“Tak cukup seluar, tak cukup kemeja, nak pula pakai kebaya malah berhijab walhal janggut tumbuh sejemput,” katanya merujuk kepada tindakan tiga jurumekap pengantin yang mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuaan  untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya, keadaan semasa menuntut perundangan Islam di negara ini diperkasa supaya kembali berdaulat dan menjadi teras pemerintahan negara.

Beliau berkata, Puteri Umno turut mencadangkan agar jawatankuasa tenikal undang-undang syarak dan sivil dinaik taraf sebagai suruhanjaya undang-undang syariah yang bertanggungjawab menggubal, menambahbaik, menyeragam dan menyelaraskan undang-undang Islam di negara ini.

"Kita dianggap bersetuju dan membenarkan perkara yang jelas bertentangan dengan syarak. Kita longlai sehingga Islam terima penghinaan demi penghinaan. Jadi kerajaan perlu lebih bersungguh dan agresif dalam menangani perkara ini,” katanya.

Rozita berkata, suruhanjaya tersebut juga akan berperanan dalam memberi nasihat berhubung hal ehwal agama Islam kepada majlis raja-raja.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain