suria

Sembilan Cedera Bas Ekspres Rempuh Lori

NIBONG TEBAL: Sembilan orang tercedera selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 153.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah ke selatan berhampiran Sungai Bakap di sini, Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Wan Hasan Wan Ahmad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.35 malam apabila bas yang dalam perjalanan dari Kangar menuju Johor Baharu itu dilaporkan terlanggar belakang lori yang membawa tong gas.

Bas yang membawa dua orang pemandu dan 26 penumpang itu dipercayai hilang kawalan sebelum berlanggar menyebabkannya terbabas dan terbalik.

Beliau berkata yang cedera termasuk seorang pemandu bas berkenaan dan lapan penumpang yang tersepit dalam bas sebelum dikeluarkan pihak bomba dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Seorang penumpang yang hanya cedera ringan Anuar, 34, berkata dia sedang tidur apabila dia terdengar bunyi dentuman kuat disusuli bunyi jeritan para penumpang.

"Kami menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu hadapan bas sebelum dibantu pihak bomba. Ada yang tersepit dan berlumuran darah," katanya.

Nibong Tebal

Artikel Lain