suria

PAU 2014: Pijak, Bakar Patung & Gambar Pemimpin Perbuatan Keji - Wanita Kelantan

Dani Farhat Mohd Hanif, 3, melihat bendera Sang Saka Bangsa ketika berkunjung ke Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Perwakilan Wanita Umno Kelantan dengan nada penuh emosi meluahkan rasa kesal dengan sikap individu tidak bertanggungjawab yang bertindak membakar patung dan gambar pemimpin negara kerana tidak bersetuju dengan dasar kerajaan.

Ketua Wanita Umno Machang, Senator Rahimah Mahamad berkata, beliau sedih kerana individu tidak bertanggungjawab itu memilih cara tersebut untuk menunjukkan perbezaan pendapatnya dengan kerajaan.

"Saya sedih melihat perbuatan keji yang dilakukan terhadap gambar Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Razak),” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Malahan, katanya, tindakan segelintir pihak yang merosakkan patung dengan gambar Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kelantan juga perbuatan yang memalukan kerana beliau membawa banyak kemajuan di negeri itu.

“Saya amat sedih patung menyerupai Tok Pa (Mustapa) ditendang kerana mereka tidak berpuas hati dengan isu royalti minyak,” katanya.

Dengan nada sebak, Rahimah berkata, beliau kecewa dengan sikap generasi muda hari ini dan menggesa kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam menghasilkan golongan muda yang bangga dengan negara mereka.

Katanya, pendekatan proaktif perlu dilakukan segera bagi mengekang kewujudan generasi muda yang sanggup mengubah versi lagu Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara salah.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan supaya menggunakan akronim Bahasa Malaysia untuk bangunan penting dan agensi-agensi kerajaan.

“Akronim Bahasa Inggeris seperti PWTC, UTC, Felcra dan Risda tidak mencerminkan identiti negara dan tidak selari dengan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi,” katanya.

Wanita Umno, Kelantan, bendera, gambar

Artikel Lain