suria

PAU 2014: Pengundi Di Bandar Sudah 'Lari', Umno Jangan Terlepas Pandang Lagi - Wakil Perak

Mohd Radzi Manan.
KUALA LUMPUR: Perwakilan Perak mahu seluruh pimpinan dan ahli sedar bahawa hanya sokongan orang Melayu luar bandar yang membolehkan Umno terus bernafas bagi memperjuangkan agenda membela nasib bangsa.

Ketua Umno Bahagian Kampar Datuk Mohd Radzi Manan berkata, jika golongan Melayu di bandar sudah 'lari' daripada Umno yang dilihat telah gagal memajukan orang Melayu dan Bumiputera, tetapi tidak bagi yang tinggal di luar bandar.

"Orang Melayu kampung tak lari lagi walaupun menanggung beban kos sara hidup masa kini. Kita mesti sedar Umno dapat bertahan kerana akar umbi kita di luar bandar masih kuat.

"Oleh itu, perlu diingat, kelangsungan parti mungkin akan musnah sekiranya kerajaan dan pemimpin sering meminggirkan golongan Melayu dan bumiputera khususnya di luar bandar," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 (PAU 2014) di sini, Jumaat.

Dengan memberikan beberapa fakta mengenai sokongan Umno yang semakin susut di Perak dan golongan yang terpinggir, beliau berkata, penyokong tegar dalam parti semakin berkurangan dengan memberi alasan pimpinan Umno sendiri telah 'terlepas pandang' dalam perkara ini. 

Malah katanya, fakta juga menunjukkan ramai penyokong Umno yang tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kita tertanya-tanya kenapa? Berkemungkinan besar mereka marah kerajaan, tak nampak kerajaan tolong, mereka hidup dalam kesusahan.

"Ini fakta yang kita (Umno) tak ambil kisah pun," katanya.

Melihat masalah ini sebagai masalah utama dalam Umno, maka beliau telah menyarankan agar agenda ekonomi Bumiputera dijadikan sebagai agenda nasional.

Dalam konteks ini, beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan Malaysia hab makanan dan pemakanan halal dengan menubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan semula.

Beliau memberi contoh bagaimana Australia yang menjalankan industri ternakan halal secara besar-besaran mampu menembusi pasaran Timur Tengah dan mewujudkan peluang perniagaan yang luas.

"Yang kita mahu aktiviti ini dipunyai dan dikendali sepenuhnya orang Islam.

"Kalaulah dapat lakukan perkara ini, saya percaya ramai rakyat akan kembali menyokong BN," katanya.

PAU 2014

Artikel Lain