suria

Mahkamah Ada Bidang Kuasa Putuskan Pertikaian Rumah Tangga Jutawan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat memutuskan mahkamah di negara ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes pertikaian rumah tangga bekas ratu cantik Malaysia, Pauline Chai Siew Phin dan suaminya, Pengerusi jenama antarabangsa Laura Ashley, Tan Sri Khoo Kay Peng.

Hakim Datuk Yeoh Wee Siam yang membuat keputusan itu, dalam penghakimannya berkata, sehubungan itu kes berkenaan tidak perlu dirujuk kepada jawatankuasa atau badan pendamai.

Mahkamah mendapati, terdapat pengecualian berdasarkan keadaan tertentu dan keterangan yang telah dikemukakan semasa perbicaraan terhadap pasangan itu.

Sehubungan itu, kes berkenaan akan didengar di negara ini, bagaimanapun Chai dijangka mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Pada Februari tahun lepas, Chai memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London dan menuntut penyelesaian lebih kurang RM2.75 bilion.

Chai mahu mahkamah Inggeris membuat keputusan prosiding perceraian itu kerana dia mendakwa tidak lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980 dan sekarang menetap di England.

Khoo, yang juga pengerusi syarikat pegangan pelaburan antarabangsa, Malayan United Industries Bhd dan kini tinggal di Ampang, Kuala Lumpur, memfailkan petisyen perceraian itu di sebuah mahkamah Malaysia tahun lepas.

Pasangan itu berkahwin pada 1970 dan mempunyai lima orang anak.




Artikel Lain