suria

Ubah Tanggapan Jabatan Insolvensi Sebabkan Kemuflisan - Nancy Shukri

Nancy Shukri.
MELAKA: Masyarakat perlu mengubah tanggapan bahawa Jabatan Insolvensi merupakan agensi yang bertanggungjawab memufliskan individu, syarikat atau sesebuah organisasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Sebaliknya, beliau berkata Jabatan Insolvensi memainkan peranan penting dalam membantu pihak tersebut keluar daripada status muflis selain membantu pemiutang mendapatkan kembali wang yang dihutang.

"Jabatan Insolvensi bukanlah jahat, maka masyarakat tidak perlu takut kepada jabatan ini malah jabatan ini sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk membantu mereka yang diisytiharkan muflis.

"Pegawai jabatan ini juga perlu memainkan peranan dalam mengubah tanggapan ini dengan bersikap mesra, berpengetahuan dan berketerampilan apabila berhadapan dengan mereka yang meminta pertolongan," katanya di sini, malam Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Dialog Sempena Persidangan Insolvensi 2014 di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Insolvensi Haslina Mansor.

Pada majlis itu juga Nancy melancarkan Buku Rujukan Pantas Kebankrapan yang merupakan panduan kepada penghutang yang diisytiharkan muflis. Persidangan tiga hari yang berakhir pada Jumaat disertai kira-kira 300 anggota jabatan itu dari seluruh negara.

Sementara itu, Nancy berkata kerajaan sentiasa berusaha membantu mereka yang terbeban dengan status muflis antaranya dengan mengemas kini undang-undang sedia ada berkenaan kemuflisan.

"Jabatan Insolvensi juga pada masa ini sedang melihat keperluan mewujudkan undang-undang (kemuflisan) baharu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan banyak penyelidikan dan perlu dilakukan secara menyeluruh supaya hak semua pihak dapat diseimbangkan," katanya.
Jabatan Insolvensi, Nancy Shukri

Artikel Lain