suria

PAU 2014: Kadar Gaji Minimum Perlu Dinaikkan - Wakil Puteri

KUALA LUMPUR: Kadar gaji minimum perlu dinaikkan bagi menampung kenaikan kos sara hidup dan penghapusan subsidi petrol, kata wakil Puteri Umno, Nor Hazreena Hashim. 

Nor Hazreena, yang juga wakil Puteri Bahagian Batu berkata kadar gaji minimum sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan seseorang individu, katanya ketika berucap mengenai usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 di Dewan Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

"Kos sara hidup dan penghapusan subsidi petrol akan menyebabkan rakyat hidup dalam kesusahan. Isu kos sara hidup juga tidak diambil kira ketika menentukan kenaikan gaji dalam sesetengah sektor pekerjaan dan penentuan gaji minimum," katanya. 

Beliau berkata 60 peratus graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian terpaksa menghabiskan wang gaji mereka untuk membayar pinjaman dan keperluan harian mereka. 

"Puteri Umno mencadangkan agar kerajaan menimbang semula kesesuaian kadar gaji minimum sedia ada yang ditetapkan ketika ini iaitu RM900," katanya. 

"Hakikatnya, RM900 tidak mencukupi. Terutamanya mereka yang tinggal di bandar. Terdapat banyak benda yang perlu dibayar. Justeru, adalah perlu supaya gaji minimum ini dinaikkan, sekurang-kurangnya lebih sedikit daripada nilai sedia ada," katanya. 


Artikel Lain