suria

PAU 2014: Kerajaan Gagal Agih Kesan Pertumbuhan Ekonomi - Puteri

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negara yang dilaporkan memberangsangkan pada tahun ini dilihat tidak memberi kesan positif kepada belia khususnya golongan wanita muda.

Wakil Pergerakan Puteri Umno, Norhazrina Mohd Hashim berkata situasi itu berlaku kerana manfaat hasil pertumbuhan ekonomi tidak diagihkan secara adil dan saksama kepada setiap lapisan masyarakat.

"Dalam kajian terhadap 100 orang wanita muda, apabila ditanya reaksi tentang pengukuhan ekonomi negara, hampir 87 peratus berkata tidak ada apa-apa perubahan dalam kehidupan seharian mereka, malah mereka rasa perit dengan kos sara hidup yang makin meningkat.

"Tak kurang juga yang bertanya kembali apakah itu 'pengukuhan ekonomi negara?'," katanya ketika menyokong usul ekonomi wakil dari Johor, pada persidangan Agung Umno 2014 (PAU 2014) di sini, Jumaat.

Wakil Puteri Umno bahagian Batu itu berkata, senario tersebut menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mempromosikan kestabilan negara walaupun mampu merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Tambahnya, peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 6.1 peratus untuk tiga suku pertama tahun ini seperti yang diiktiraf Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dianggap tidak dapat menjamin faedahnya kepada rakyat.

Katanya, hal itu berlaku kerana kekurangan penyaluran maklumat oleh kementerian mengenai bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan.

"Ada promosi (bantuan) tapi dengan menganjurkan konvensyen tahunan di negeri-negeri...rakyat tak pergi konvensyen itu.

"Sebaliknya mereka perlu turun ke akar umbi, ke kampung-kampung kerana di sana ada usahawan-usahawan," katanya.

Jelasnya, apabila maklumat bantuan kerajaan gagal disampaikan kepada golongan sasar, rakyat akan menganggap kerajaan tidak memberikan bantuan yang sangat mereka perlukan.

KDNK, Perhimpunan Agung Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain