suria

Wakil Rakyat Jangan Tanya Soalan Sesuka Hati - Pandikar Amin

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Khamis menegur anggota-anggota Parlimen yang suka bertanyakan soalan melibatkan dasar, semasa sesi soal jawab, dan soalan yang tidak mempunyai matlamat jelas.

Beliau berkata wakil rakyat tidak sepatutnya bertanya soalan dasar yang memerlukan jawapan panjang daripada kementerian, sehingga membazirkan masa satu setengah jam yang diperuntukkan untuk sesi itu.

"Saya serius, saya akan pinda peraturan mesyuarat di mana anggota Parlimen tidak boleh bertanya soalan melibatkan dasar.

"Jadi ayuh sama-sama disiplinkan diri, kalau bertanya jangan sembarangan tanya, fikir dulu kerana ada masa 14 hari, soalan itu apa matlamat sebenarnya. Selepas itu menteri jawab kepada perkara yang dibangkitkan sahaja," tegasnya.

Teguran itu dibuat semasa giliran Datuk Norah Abd Rahman (BN-Tanjong Manis) yang mengemukakan soalan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk memastikan sasaran 55 peratus penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan pada penghujung tahun 2015 dapat dicapai dan pencapaian dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun kemudian mengambil masa kira-kira 11 minit untuk menjawab soalan itu.

Chew berkata sehingga Mei lalu sebanyak 14 peratus atau 3,266 daripada keseluruhan 23,335 ahli lembaga pengarah di syarikat awam adalah wanita.

"Kita belum mencapai sasaran yang ditetapkan dan walaupun telah dicapai pun kita akan meneruskan usaha untuk menambah kedudukan wanita dalam masyarakat," jelasnya.

Dewan Rakyat, Pandikar Amin

Artikel Sebelum

Artikel Lain