suria

Kerajaan Akan Terus Beri Penerangan TPPA Kepada Bumiputera

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi penerangan kepada golongan Bumiputera mengenai faedah-faedah yang boleh diraih oleh negara dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri berkata ia juga termasuk penerangan mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu melibatkan Bumiputera.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anuar Manap (BN-Sekijang) berhubung pendirian kerajaan berkaitan kesangsian golongan bumiputera dengan kelebihan yang ada pada TTPA, pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Menurutnya, penerangan mengenai isu dalam TPP serta status terkini rundingan sampingan disampaikan kepada pihak-pihak yang berkepentingan termasuk kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, wakil industri dan perniagaan serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) mengenai peningkatan kos ubat-ubatan sekiranya TPPA dilaksanakan, Hamim berkata Malaysia tetap bertegas akan menolak cadangan berkaitan hak harta intelek dalam TPPA membabitkan ubat-ubatan.

"Perkara mengenai ubat-ubatan ini masih lagi dirundingkan dan Malaysia adalah negara yang paling lantang dalam hal memperjuangkan mengenai ubatan ubatan ini.

"Kita sedar kesannya jika ia (ubat) menjadi mahal kerana ia membawa kesan yang buruk kepada kualiti hidup rakyat," katanya sambil menambah belum ada jangka masa bila TPPA ini akan dimuktamadkan.

TPPA ialah cadangan perjanjian perdagangan bebas yang membabitkan 12 negara, iaitu Amerika Syarikat, Malaysia, Singapura, Vietnam, Kanada, Australia, Jepun, Peru, New Zealand, Chile, Mexico dan Brunei, dan rundingan mengenai cadangan itu masih lagi berjalan.

TPPA

Artikel Berikut

Artikel Lain