suria

PAU 2014: Wakil Mahasiswa Cadang Program Exco Pemuda Angkat

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno disaran untuk menubuhkan program exco pemuda angkat bagi dijadikan medium mahasiswa bersuara dan mendekati parti tersebut.

Cadangan itu dikemukakan oleh wakil mahasiswa, Muhamad Nur Aizat Noor Azam yang membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada perhimpunan sayap parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Nur Aizat yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, Pemuda Umno perlu mendekati mahasiswa yang menjadi medium dalam membawa suara golongan itu.

"Program exco angkat ini hendaklah melatih kepimpinan mahasiswa supaya mereka memahami politik di peringkat akar umbi.

"Ini kerana, masalah sekarang apabila mahasiswa kembali ke peringkat bahagian, mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan politik di akar umbi.

"Kami mahu barisan exco Pemuda melibatkan diri dengan anak muda secara terbuka terutama dalam hal kepimpinan dan politik," katanya ketika ditemui mStar online.

Nur Aizat berkata, Pemuda Umno mempunyai seramai 20 exco dan jumlah bersesuaian dengan kira-kira 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

"Bila adanya seorang abang angkat, ia juga akan menjadi satu saluran yang baik buat kami dalam melontar masalah berkaitan dengan mahasiswa dan pentadbiran universiti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengusulkan cadangan penubuhan sekolah politik mahasiswa sebagai platform khusus kepada  Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), pusat pengkaderan dalam membentuk kepemimpinan masa depan.

AKHI telahpun diusulkan oleh Pergerakan Pemuda Umno pada Persidangan Agung Umno 2013.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Merbok dan Exco Pemuda Umno Negeri Kedah itu, sekolah tersebut sebagai pelengkap kepada AKHI yang membimbing mahasiswa tentang pengetahuan politik di samping mewujudkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.

"Umno menawarkan satu perkara kepada mahasiswa supaya menyertai sekolah ini bukan sahaja untuk ambil tahu pasal politik atau bantu Umno tetapi juga kemahiran diri dan persediaan dalam mengharungi alam pekerjaan," katanya.

Tambahnya, kedua-dua sekolah politik mahasiswa dan program exco angkat ini perlu diselari dan diberikan perhatian bagi memanfaatkan golongan muda.

"Saya tak nampak ada masalah kerana mahasiswa kini dibenarkan berpolitik dan Pergerakan Pemuda Umno begitu dekat dengan persekitaran mahasiswa," katanya.

Perhimpunan Agung Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain